Siakap Keli
sheikh sudais imam
Kredit: Haramain Sharifain

Genap 40 Tahun Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais Berkhidmat Sebagai Imam Masjidil Haram

Genap 40 Tahun Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais Berkhidmat Sebagai Imam Masjidil Haram

Pada Selasa, tanggal 22 Syaaban 1444 Hijrah baru-baru ini, genap 40 tahun Sheikh Abdul Rahman Al Sudais berkhidmat sebagai Imam Masjidil Haram, Mekah, lapor Haramain Sharifain.

Sheikh Sudais dilantik sebagai imam Masjidil Haram, Mekah melalui Titah Diraja yang dikeluarkan oleh Almarhum Penjaga Dua Masjid Suci Raja Fahad Abdulaziz pada tahun 1984 bersamaan dengan 1404 Hijrah.

Difahamkan, Sheikh Sudais telah memimpin Masjidil Haram, Mekah seawal usia 22 tahun dan beliau mengetuai solat pertamanya pada 22 Syaaban 1404H / Mei 1984.

Solat berjemaah pertama yang diimamkannya sewaktu pertama kali bertugas sebagai imam di masjid suci itu adalah Solat Asar pada ketika itu.

Namun, tiada sebarang rakaman sewaktu beliau melaksanakan solat berjemaah pertamanya.

Pun begitu, Sheikh Abdul Rahman mempunyai video terawal selepas dua bulan pelantikannya dibuat.

Biografi Sheikh Abdul Rahman

Sedikit maklumat berkenaan Sheikh Abdul Rahman, beliau dilahirkan pada 1961 (tahun Hijrah 1381) di Kota Qassim yang terletak di Arab Saudi, lapor The Daily Reality.

Pada usia 12 tahun, beliau mendapat pendidikan awal di Riyadh yang membolehkan dirinya menghafal seluruh kitab suci al-Quran.

Dengan pengawasan dan bimbingan ayahnya, Sheikh Abdul Rehman Al Firyan, beliau berjaya memahami dan menghafal kitab suci tersebut.

Pada peringkat pengajian tinggi, Sheikh Abdul Rahman merupakan lulusan Fakulti Syariah di Universiti Umm Al Qura di Mekah pada tahun 1981.

Beliau dilantik sebagai Imam Masjidil Haram pada tahun 1984 pada usia yang sangat muda dan sejak itu, beliau selalu memimpin Tarawih pada setiap tahun.

Sheikh Abdul Rahman turut memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) dalam jurusan syariah pada tahun 1995.

Mempunyai ilmu yang tinggi dan mendalam dalam bidang Al-Quran, Sheikh Abdul Rahman juga turut berjaya menyempurnakan khatam Al-Quran dirinya sebanyak 40 kali.

Pada tahun 2011, beliau dilantik sebagai Presiden Umum untuk Hal Ehwal Haramain dalam titah yang diperintahkan oleh Almarhum Raja Abdullah, bekas pemerintah tertinggi Arab Saudi.

Pelantikan itu dibuat sejurus sebelum projek pembesaran besar-besaran (Grand Expansion) di Masjidil Haram bermula ketika itu.

Selain itu, Sheikh  Abdul Rahman turut dilantik oleh Raja Salman untuk berperanan menjadi khatib dalam menyampaikan khutbah haji pada tahun 2016.

Kemudian melalui titah diraja yang dikeluarkan oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman telah dilantik semula sebagai Presiden Umum untuk tempoh empat tahun pada 2019.

Bermula pada tahun itu hingga hari ini, Sheikh Abdul Rahman menyempurnakan 40 tahun pelantikannya sebagai imam dan khatib Masjidil Haram, Mekah.

Sumber: Haramain Sharifain, The Daily Reality

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana