Siakap Keli
sekolah indonesia 5.30 pagi
Kredit: AFP

Seawal Subuh, Waktu Sekolah Di Indonesia Ini Bermula 5.30 Pagi

Seawal Subuh, Waktu Sekolah Di Indonesia Ini Bermula 5.30 Pagi

Setiap pagi di sebuah bandar yang terletak di timur Indonesia, jalan raya dipenuhi dengan remaja yang dalam perjalanan ke sekolah masing-masing.

Ada yang berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang persis zombi di atas jalan kerana masih diburu rasa mengantuk.

Suasana itu berlaku hasil ekperimen kontroversi yang dijalankan oleh pemerintah tempatan dalam mendidik para pelajar yang mempunyai masalah bangun tidur awal.

Dilaksanakan sebagai projek rintis di Kupang, Nusa Tenggara Timur, eksperimen berkenaan melibatkan pelajar-pelajar Gred 12 di 10 buah sekolah.

Eksperimen gabenor, waktu sekolah di Indonesia ini bermula seawal 5.30 pagi

Menerusi projek berkenaan, pelajar-pelajar yang terlibat akan memulakan waktu persekolahan masing-masing seawal Subuh, iaitu kira-kira 5.30 pagi. Umumnya, waktu persekolahan di Indonesia biasanya bermula sekitar 7 dan 8 pagi.

Menurut pihak berkuasa tempatan, projek tersebut dilancarkan sendiri oleh Gabenor Viktor Laiskodat pada bulan lepas. Difahamkan, pelaksanannya bertujuan untuk mendisiplinkan remaja-remaja di kawasan tersebut.

Namun begitu, projek berkenaan sebenarnya tidak mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa. Sebahagian daripada mereka mendakwa anak mereka tidak bermaya apabila pulang dari sekolah, mungkin kerana tidak cukup tidur.

“Ia sangat sukar, sekarang mereka perlu tinggalkan rumah ketika keadaan masih gelap lagi. Saya tak boleh menerimanya… tiada siapa dapat menjamin keselamatan mereka apabila berada dalam situasi gelap awal pagi,” kata Rambu Ata.

Rambu Ata yang mempunyai anak berusia 16 tahun meluahkan kegusaran tersebut kepada AFP baru-baru ini.

Ibu bapa gusar keselamatan anak-anak

Anak perempuannya, Eureka kini terpaksa bangun seawal 4.00 pagi untuk bersiap dan menunggang motosikal ke sekolahnya.

“Sekarang, setiap kali dia sampai di rumah, dia menjadi tidak bermaya dan mudah terlelap kerana terlalu mengantuk,” kata Ata lagi.

Seorang ahli akademik turut menyokong kenyataan yang diberikan ibu berkenaan mengenai polisi terbaharu itu.

“Tiada langsung kaitan bagaimana usaha ini dapat membantu menambah baik mutu pendidikan,” kata Marsel Robot, seorang pakar pendidikan daripada Universiti Nusa Cendana.

Dalam jangka masa yang lama, kekurangan tidur akan membahayakan kesihatan para murid serta mencetuskan perubahan terhadap tingkah laku mereka, katanya.

“Mereka hanya dapat tidur dalam beberapa jam sahaja dan ini merupakan risiko yang besar bagi kesihatan mereka. Perkara ini akan mengakibatkan tekanan dan mereka akan melepaskan stress dengan melakukan apa sahaja. ”

Polisi tersebut telah dilanjutkan

Sebuah kajian yang diterbitkan American Academy of Pediatrics pada 2014 mencadangkan akan murid-murid sekolah memulakan persekolahan pada 8.30 pagi atau waktu selepasnya. Ia bagi memastikan mereka memperolehi tidur yang mencukupi.

Selain kanak-kanak, perubahan ini turut memberikan cabaran kepada warga tempatan. Mereka mengesa pihak berkenaan agar memansuhkan polisi yang disifatkan tidak bermanfaat.

Walau bagaimanapan, pihak kerajaan masih meneruskannya, malah melanjutkan percubaan bersama agensi pendidikan tempatan.

Oleh itu, guru-guru pada masa ini mula bertugas di sekolah masing-masing pada jam 5.30 pagi.

BACA: ‘Robot’ Peguam Didakwa Tiada Kelulusan Undang-undang

Sumber: AFP

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma