Siakap Keli
tambang percuma mrt putrajaya
Kredit: BERNAMA

Tambang Percuma MRT Putrajaya Hingga 31 Mac – Anwar

Tambang Percuma MRT Putrajaya Hingga 31 Mac – Anwar

Rakyat Malaysia kini boleh menikmati perjalanan percuma apabila menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) untuk Laluan Putrajaya, yang berkuat kuasa 3 petang hari ini sehingga 31 Mac.

Lapor Awani, perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pembukaan kemudahan MRT Putrajaya itu.

Difahamkan, sebanyak 36 stesen dalam laluan itu dari Stesen Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral terlibat dengan tambang percuma terbabit.

“Dan kerana kejayaan MRT Corp telah mudahkan cara perlaksanaan ini, saya setuju supaya mulai hari ini bermula 3 petang sehingga 31 Mac, kita (kerajaan) tidak akan kenakan bayaran bagi yang mengguna MRT.

“Itu antara tarikan kepada pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa  Majlis Pelancaran Pembukaan Laluan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya di Depot MRT Serdang.

Jumlah penumpang harian MRT laluan putrajaya dijangka cecah 200,000

Februari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menjangka jumlah penumpang harian bagi MRT Laluan Putrajaya dijangka mampu mencecah kira-kira 200,000 dalam masa dua tahun.

Beliau turut berharap ia dapat menarik lebih ramai pengguna pengangkutan awam menggunakan perkhidmatan itu.

“Untuk tempoh satu hingga dua tahun, kami harap ia dapat cecah 200,000 penumpang harian, itu memang harapan kami.

“Tetapi seperti mana-mana perkhidmatan MRT atau LRT (Transit Aliran Ringan), ia akan mengambil masa untuk capai sasaran itu.

“Seperti MRT Satu juga Kajang Line (MRT Laluan Kajang), kita bermula dengan jumlah yang rendah tetapi kemudian ia telah mencecah kira-kira 200,000 sekarang.

“Ia ambil masa kira-kira dua tahun untuk capai jumlah itu,” katanya.

Loke berkata projek MRT Laluan Putrajaya itu menelan belanja RM30.53 bilion untuk kos pembinaan.

Bagi kos sistem ia meliputi 36 stesen melibatkan 49 set kereta api.

Tambahnya, pada permulaan apabila ia mula beroperasi nanti akan dimulakan dengan frekuensi lima minit untuk setiap tren.

Loke turut berkata pihaknya juga merancang untuk memperluas stesen Titiwangsa yang juga sebahagian daripada laluan tersebut sebagai antara hab pengangkutan utama.

Tapak yang dikenal pasti itu milik MRT Corp yang akan bertanggungjawab membangunkan projek tersebut termasuk urusan perolehan dan tender.

Sumber: Awani

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana