Siakap Keli
penyokong malaysia bersorak
Kredit Twitter

Gelagat Penyokong Malaysia Semangat Bersorak Raih Perhatian Antarabangsa, Pengulas Pun Kagum

Gelagat Penyokong Malaysia Semangat Bersorak Raih Perhatian Antarabangsa, Pengulas Pun Kagum

Penyokong badminton Malaysia yang menghadiri kejohanan berprestij badminton Yonex All England 2023 berjaya meraih perhatian lensa kamera kejohanan.

Kehadiran penyokong dari Malaysia yang siap memakai tanjak bercorakkan warna dan bendera Malaysia itu mendapat perhatian selepas semangatnya menyokong pemain dipuji.

Video penyokong terbabit telah dikongsikan oleh Yonex All England Badminton Championships di Twitter rasmi mereka pada pagi tadi.

Menerusi video itu, selain bertanjak, penyokong tersebut turut mengikat bendera Malaysia di badannya sebagai tanda sokongan kepada atlet Malaysia.

“Bolehkah kita semua bersetuju bahawa lelaki muda ini adalah ‘highlights’ terbesar di kejohanan #YAE23 setakat ini?” tulis kaspsyen muat naik video tersebut.

Baca: Bayar RM1 Pun ‘Rider’ Hantar, Ni Cara Nak Dapat Cas ‘Delivery’ Paling Rendah Bila Pesan Makanan

Dapat didengari juga bahawa pengulas perlawanan tersebut turut kagum dan memuji semangat penyokong itu.

Penyokong malaysia bersorak

Sambil penyokong yang lain bersorak, penyokong lelaki tersebut dengan bersemangat menyanyikan lagu patriotik negara yang bertajuk Setia.

Lagu Setia pernah dipopularkan oleh Dato’ Francisca Peter dan merupakan lagu patriotik yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

Kejohanan yang bermula pada 14 hingga 19 Mac itu diadakan di Utilita Arena Birmingham, England.

Perkongsian video tersebut telah mendapat perhatian daripada seluruh peminat sukan badminton di seluruh dunia. Mereka seterusnya turut meninggalkan komen dan berbangga dengan semangat yang ditunjukkan lelaki tersebut.

Antara komen yang mendapat perhatian adalah:

Penuh dengan semangat

“Dia benar-benar bersemangat. Sungguh bersyukur kerana dia berada di sana untuk menceriakan dan memotivasikan pemain kita,” tulis seorang pengguna Twitter.

“Sangat berbangga. Dia benar-benar anak Malaysia. Banyak lagu patriotik Malaysia yang dia hafal. Terima kasih kerana menjadi suara untuk semua penyokong badminton Malaysia,” tulis seorang lagi pengguna Twitter.

“Dia sangat bersemangat. Saya tidak akan mampu mengalahkannya,” tulis seorang pengguna yang memuji semangat penyokong tersebut.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mencipta sensasi tersendiri apabila menyingkirkan penyandang juara All England, Viktor Axelsen, pada saingan pusingan kedua di Birmingham, malam ini.

Pertembungan sulung dengan jaguh dunia dari Denmark di Utilita Arena itu, menyaksikan Tze Yong menampilkan semangat juang yang tinggi untuk mendahului perlawanan dengan keputusan 21-15.

Bagaimanapun, Axelsen, tidak gusar dengan kekalahan set pertama itu dan menggunakan pengalaman beliau untuk bangkit semula di set kedua dengan kemenangan 21-9, sekali gus mengheret perebutan slot suku akhir ke rubber set.

Pada set penentuan, Tze Yong, 22, mengekalkan rentak permainan dan kekal tenang di sebalik tekanan Alexsen yang cuba bangkit pada penghujung permainan, namun pemain negara itu mampu bertahan dengan kemenangan 23-21.

Sumber: Yonex All England Badminton Championships via Twitter

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka