“Solat tarawih hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan membaca surah atau ayat-ayat pendek.

“Pelaksanaan tazkirah hendaklah dilaksanakan selepas selesai solat sunat tarawih oleh penceramah bertauliah dan tempohnya tidak melebihi 20 minit,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis, semalam. 

Mohd Zawawi berkata segala pelaksanaan solat fardu, dan solat Jumaat termasuk aktiviti program masjid dan surau dibenarkan dengan mengikut syarat yang harus ditetapkan.

Langkah berjaga-jaga tetap harus diambil

Selain itu, semua orang dinasihatkan untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga walaupun kita sedang berada di fasa peralihan endemik Covid-19 yang sedang dilalui ketika ini.

“Pihak pentadbir masjid, surau dan musolla serta jemaah digalakkan untuk memakai pelitup muka.

“Selain itu, individu yang mempunyai gejala atau kurang sihat tidak digalakkan hadir ke masjid dan surau,” katanya.

BACA: Patutnya Kena Bayar RM22.40, Sekali Kat Kaunter Cashier Minta RM8 Ja

Terdahulu, kerajaan Negeri Sembilan mengingatkan ahli politik supaya tidak menjadikan masjid dan surau di negeri ini sebagai pentas untuk berceramah politik. Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ia bagi memastikan institusi berkenaan tidak disalah guna selain menjaga keharmoniannya, sekali gus memelihara kesucian agama Islam.

Katanya larangan ke atas mana-mana ahli politik atau wakil rakyat daripada menggunakan masjid sebagai ‘tapak’ ceramah juga sudah lama dikeluarkan. Larangan tersebut telah dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

“Kita ingatkan mereka yang datang berceramah ke sini, tidak boleh berceramah politik, kena hati-hati, kita tak nak perkara ini merosakkan institusi masjid. Kalau nak berceramah, buatlah ceramah umum di luar…janganlah kacau masjid dan surau.

Sumber: Sinar Harian