Siakap Keli
masjid pentas politik
Kredit: BERNAMA

Jangan Jadikan Masjid, Surau Di N.Sembilan Pentas Ceramah Politik – MB

Jangan Jadikan Masjid, Surau Di N.Sembilan Pentas Ceramah Politik – MB

SEREMBAN, 8 Mac (Bernama) — Kerajaan Negeri Sembilan mengingatkan ahli politik supaya tidak menjadikan masjid dan surau di negeri ini sebagai pentas untuk berceramah politik, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ia bagi memastikan institusi berkenaan tidak disalah guna selain menjaga keharmoniannya, sekali gus memelihara kesucian agama Islam.

Katanya larangan ke atas mana-mana ahli politik atau wakil rakyat daripada menggunakan masjid sebagai ‘tapak’ ceramah juga sudah lama dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

“Kita ingatkan mereka yang datang berceramah ke sini, tidak boleh berceramah politik, kena hati-hati, kita tak nak perkara ini merosakkan institusi masjid. Kalau nak berceramah, buatlah ceramah umum di luar…janganlah kacau masjid dan surau.

“Wakil rakyat kita tak ada ceramah di masjid, kita hormat, dulu ada wakil rakyat yang baca khutbah tapi kita dah maklumkan tak dibenarkan dia baca khutbah. Kita tak mahu ada ucapan politik dalam masjid, itu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata tiada sekatan bagi penceramah tertentu untuk mengadakan ceramah di negeri ini setakat ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata semua pihak perlu menghormati dan akur terhadap arahan pihak berkuasa agama negeri mengenai larangan ahli politik menyampaikan kuliah atau ceramah politik di masjid dan surau.

Penceramah tanpa tauliah: AJK masjid, surau boleh dipecat – Sultan Ibrahim

Sementara itu, Ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di Johor boleh dikenakan tindakan dan dipecat, sekiranya membenarkan penceramah tanpa tauliah memberi ceramah di negeri itu.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah penceramah agama yang hendak menyampaikan ceramah di negeri itu, mestilah memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Baginda bertitah semua AJK masjid dan surau yang hendak menganjurkan ceramah agama, wajib mendapatkan kebenaran daripada MAINJ melalui Pejabat Kadi Daerah.

Sultan Ibrahim bertitah penceramah juga perlu menyatakan secara terperinci tajuk ceramah serta perkara yang ingin disampaikan, ketika memberi ceramah agama.

Sumber: BERNAMA

BACA: Pembatalan Ceramah Ustaz Wadi: JAIS Kesal Ada Pihak Buat Hantaran Kurang Tepat

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana