Siakap Keli
PM Tidak Gentar Dengan Ugutan Jatuhkan Kerajaan Perpaduan
Kredit: Bernama

PM Tidak Gentar Dengan Ugutan Jatuhkan Kerajaan Perpaduan

PM Tidak Gentar Dengan Ugutan Jatuhkan Kerajaan Perpaduan

SHAH ALAM, 18 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak gentar dengan usaha atau ugutan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau malah yakin ia akan kukuh dan kekal dalam tempoh lima tahun dengan sokongan padu pemimpin parti di bawah pentadbirannya.

Dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri pada Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023, Presiden PKR itu berkata beliau juga tidak takut berhadapan dengan rencana daripada perasuah atau sebarang perhimpunan yang ingin menjatuhkannya sejak menyandang jawatan tersebut November lepas.

“Ini gelanggang saya (Kongres) Parti Keadilan Rakyat, empat bulan saya bersabar. Saya bicara secara teratur, hari ini saya bicara sebagai Presiden PKR, gerakan reformasi. Saudara mahu ugut kita dengan perhimpunan, mahu ugut kita (agar) takut bertindak kepada perasuah, saudara salah pilih seorang Perdana Menteri.

“Saya tak makan ugutan itu, ada kuasa kita laksanakan, (jika) kamu cuba nak rampas (pentadbiran kerajaan) silakan, tapi tidak mudah. Kita siap dengan keris… membujur lalu melintang patah,” katanya.

Ucapan Anwar itu mendapat tepukan dan sorakan kira-kira 3,000 perwakilan serta pemerhati yang hadir di Stadium Malawati dekat sini.

Perdana Menteri berkata beliau sedar ada pihak yang mengkritik pentadbirannya namun menegaskan bahawa belum pernah wujud campur tangan dalam kalangan pemimpin kerajaan berhubung isu seperti kebebasan badan kehakiman dan pemberian tender.

Anwar turut mendakwa kuasa politik terdahulu melindungi penjenayah dan perasuah besar selain menggunakan kuasa untuk melindungi diri sendiri serta menghentam rakyat.

Beliau berkata ini berbeza dengan Kerajaan Perpaduan yang secara jelas melindungi rakyat dan menyerang perasuah selain berazam tidak akan melepaskan ‘tauke mahakaya’ daripada membayar cukai.

Menyentuh sumbangan tokoh perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang menguasai Padiberas Nasional Berhad (Bernas) kepada pesawah di seluruh negara, beliau berkata ia adalah inisiatif kerajaan untuk manfaat rakyat.

“Itu pilihan kita (Kerajaan Perpaduan)… apa pilihan mereka (kerajaan terdahulu), RM200 juta masuk akaun parti… yang lain saya tahu tapi saya belum hebahkan,” katanya.

Sebelum ini, Bernas bersetuju dengan permintaan Perdana Menteri untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membantu pesawah.

Bernas juga bersetuju berkongsi keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30 peratus keuntungan bersih kepada mereka.

Kongres sehari PKR itu menumpukan kepada persiapan parti bagi menghadapi PRN di enam negeri serta pengukuhan kerjasama PH dan Kerajaan Perpaduan.

BACA: Anggota PKR Perlu Perkukuh Parti Bagi Hadapi Cabaran Besar – Setiausaha Agung

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma