Siakap Keli
makan sekali seminggu demi kucing
Gambar: Yasemn Kaptan/SWNS

Tak Sanggup Buang Walau Tak Mampu, Wanita Dedah Hanya Makan Sekali Seminggu Demi Sara Kucing Kesayangan

Tak Sanggup Buang Walau Tak Mampu, Wanita Dedah Hanya Makan Sekali Seminggu Demi Sara Kucing Kesayangan

Seorang wanita yang hilang pekerjaannya dilaporkan hanya makan sekali seminggu supaya mempunyai wang yang cukup untuk memberi makan kepada enam ekor kucingnya ketika krisis kos sara hidup melanda Britain kini, lapor Mirror UK.

Yasemn Kaptan, 46, hanya makan seminggu sekali selama setahun kerana perlu membelanjakan 60 pound sterling (RM328) daripada elaun mingguannya 69 pound sterling (RM377) untuk haiwan peliharaannya.

Wanita yang juga merupakan seorang pengganggur itu berasal dari Tottenham, utara London dan menerima elaun bulanan berjumlah 400 pound sterling (RM2,185) kerana menghidap penyakit osteoporosis.

Selain membeli keperluan untuk haiwan peliharaannya, difahamkan bahawa dia membelanjakan wang itu untuk membayar sewa dan bil utiliti rumahnya.

Baca: Bayar RM1 Pun ‘Rider’ Hantar, Ni Cara Nak Dapat Cas ‘Delivery’ Paling Rendah Bila Pesan Makanan

Yasemn berkata, dia hanya minum teh pudina untuk menahan lapar sehingga menyebabkannya kehilangan sebanyak 31.75 kilogram berat badan sejak mengurangkan pengambilan makanannya.

Dia mula membela kucing ketika bekerja sebagai personal shopper dan pada ketika itu, boleh menampung dirinya dan kucing serta membayar bil.

Gambar: Yasemn Kaptan/SWNS

Namun, wanita tersebut terpaksa meninggalkan pekerjaannya pada 2022 selepas disahkan menghidap osteoporosis sehingga menyebabkan dia kekurangan wang.

Tidak boleh hidup tanpa haiwan peliharaannya

“Saya tidak mempunyai wang simpanan, tetapi saya juga tidak boleh melepaskan kucing saya. Mereka telah membesar dengan kami dan saya menjaga mereka sejak ia masih bayi,” kata Yasemn.

“Saya menghabiskan banyak duit untuk mereka dan kini berada di penghujung hayat, tidak adil untuk melepaskan mereka,” kata Yasemn lagi.

Gambar: Yasemn Kaptan/SWNS

Memetik Mirror UK, Yasemn enggan membuang kucingnya kerana dia tidak tahu bagaimana kehidupannya atau pasangannya Erdinc Hassain, 46, yang menghidap multiple sclerosis, tanpa haiwan peliharaannya itu.

Makan sekali seminggu demi kucing

Jadi, wanita itu memutuskan untuk makan sekali seminggu, yang telah menyebabkan berat badannya berkurang daripada 88.9 kilogram kepada 57 kilogram.

Satu hidangan Yasemn biasanya terdiri daripada sayur-sayuran seperti lada, bawang dan salad. Selain itu, dia juga akan minum teh pudina untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

“Apabila saya mendapat elaun penjaga saya, semua wang saya dihabiskan untuk membeli pasir kucing, makanan kucing, biskut dan susu. Saya hanya boleh membayar bil telefon sahaja,” kata Yasemn.

“Pasangan saya bimbang tentang saya tetapi saya sudah terbiasa dengannya sekarang. Saya akan baik-baik saja, tiada apa yang boleh saya lakukan dan saya tidak akan membuang kucing saya,” katanya.

Jelasnya lagi, dia telah memelihara kucingnya selama 17 tahun, sewaktu ia masih lagi kecil.

“Saya makan sekali seminggu dengan hanya minum teh pudina dan makan makanan lembut seperti yogurt atau sayur-sayuran,” katanya.

Sumber: Mirror UK

Noorliyana Ishak