Siakap Keli
bayi terkunci dalam kereta
Kredit: Bomba Selangor via Sinar Harian

Ibu Cemas, Bayi Terkunci Dalam Kereta Setengah Jam

Ibu Cemas, Bayi Terkunci Dalam Kereta Setengah Jam

Terkunci selama setengah jam, seorang ibu berhadapan situasi cemas selepas mendapati bayi perempuannya yang berusia lima bulan terperangkap di dalam kereta.

Merujuk laporan Sinar Harian, kejadian cemas itu dilaporkan berlaku di Taman Saujana, Sepang hari ini.

Menurut Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.23 petang.

“Kejadian melibatkan seorang bayi perempuan berusia lima bulan yang terperangkap dalam kereta jenis Proton Saga yang terkunci secara automatik ketika ibunya keluar dari kenderaan itu.

“Mangsa dipercayai terperangkap kira-kira 30 minit,” ujarnya.

Difahamkan, anggota bomba memerlukan kira-kira lima minit untuk mengeluarkan bayi berkenaan dari kereta tersebut.

Ujar beliau, peralatan khas digunakan pihaknya sebelum kereta itu berjaya dibuka dan bayi dapat diselamatkan lima minit kemudian.

Walau bagaimanapun, bayi terbabit berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bomba selamatkan kanak-kanak terperangkap dalam kereta di Johor

Imbas kembali, dua tahun lalu, media turut melaporkan perkara yang sama berlaku di mana seorang bayi terperangkap dalam kereta di sebuah stesen minyak.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Zulkarnain Arifin berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 8.03 pagi.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati terdapat seorang kanak-kanak perempuan terperangkap dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

“Ketika kejadian, ibu kepada mangsa telah keluar membeli makanan di lokasi kejadian.

“Dia meninggalkan mangsa di dalam kereta dalam keadaan enjin kereta hidup dan kereta terkunci dari dalam secara tiba-tiba,” ujarnya.

Katanya orang awam dan ibu mangsa cuba membuka pintu kereta berkenaan sementara menunggu bomba tiba namun usaha itu gagal.

Beliau berkata pihak bomba mengambil masa sekitar tiga hingga lima minit menggunakan alat khas.

Peralatan itu digunakan bagi membuka pintu kereta tersebut dan mangsa berada dalam keadaan menangis.

Sumber: Sinar Harian

BACA: Bayi Nyaris Lemas, Nafas Tercungap-cungap Selimut Tertutup Muka Semasa Tidur

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana