Siakap Keli
terperangkap dalam rumah
Kredit Sinar Harian

Wanita Berdepan Detik Cemas, Terperangkap Dalam Rumah Dihempap Pokok Tumbang Akibat Ribut

Wanita Berdepan Detik Cemas, Terperangkap Dalam Rumah Dihempap Pokok Tumbang Akibat Ribut

Empat batang pokok yang tumbang dalam kejadian hujan lebat dan ribut petir di sebuah perumahan Taman Desa Riang, Damansara Damai malam tadi telah menyebabkan seorang wanita terperangkap di dalam rumahnya.

Suami mangsa yang dikenali sebagai Rezal Ibrahim, 49, berkata bahawa isterinya tidak dapat keluar dari rumah selepas terhalang oleh pokok tumbang di kedua-dua bahagian depan dan belakang rumahnya.

Menurut Rezal, ketika kejadian dia dipercayai berada di luar rumah. Jalan utama telah terhalang dan menyebabkannya terpaksa berjalan kaki sejauh 700 meter untuk pulang ke rumahnya.

“Saya selaku pengerusi surau ketika itu sedang bermesyuarat bagi persiapan Ramadan.

“Sebaik dihubungi isteri, saya terus pulang ke rumah, namun lebih kurang lima batang pokok tumbang di jalan utama Jalan Sutera ke Desariang 10/5 menyebabkan kenderaan tidak boleh dilalui.

“Saya ambil keputusan untuk jalan kaki pulang ke rumah bagi melihat keadaan isteri,” katanya kepada Sinar Harian. 

Sementara itu, kesan daripada kejadian itu, Rezal memberitahu bahawa dia mengalami kerugian lebih RM5,000. Bagaimanapun, dia bersyukur isterinya terselamat dalam kejadian cemas itu.

Tambahnya, kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 9.45 malam dan agensi penyelamat mengalami kelewatan berikutan terdapat beberapa lokasi lain turut terjejas.

Kredit Sinar Harian

“Sementara menunggu pasukan penyelamat tiba, kami penduduk melakukan kerja pembersihan bermula jam 10.30 malam hingga lewat pagi.

“Kerja pembersihan masih lagi dijalankan ketika ini,” katanya.

Selain itu, seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Norzela Yaakub, 60, berkata ribut petir dan hujan lebat hanya berlaku kurang daripada 30 minit. Namun kesan daripada ribut tersebut sangat mencemaskannya yang berada di rumah ketika kejadian tersebut.

“Bunyi bising dan berlaku litar pintas sampai saya tidak sedar bahagian tempat letak kereta rumah telah dihempap pokok.

“Ada penduduk beritahu ternampak puting beliung yang menyebabkan banyak pokok tumbang, namun saya tidak pasti kerana berada dalam rumah,” katanya.

BACA: Patutnya Kena Bayar RM22.40, Sekali Kat Kaunter Cashier Minta RM8 Ja

Menurut Norzela, dia mengakui sedang trauma dengan kejadian tersebut yang pertama kali berlaku di kawasan perumahannya itu. Namun dia juga bersyukur kerana tiada penduduk yang tercedera dalam kejadian berkenaan.

Dalam masa sama, Norzela berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membuat pemantauan dan melakukan penebangan pokok yang berisiko. Terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu melanda negara ketika ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat memberitahu bahawa sebanyak tujuh buah rumah dan enam kenderaan rosak akibat dihempap 15 pokok tumbang.

Lima jentera termasuk 29 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara, BBP Sungai Buloh, BBP Kota Anggerik dan BBP Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sumber: Sinar Harian 

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka