Siakap Keli
wanita filipina ganja
Kredit: BERNAMA

Wanita Filipina Antara Ditahan Miliki Ganja Mampat Bernilai RM85,000

Wanita Filipina Antara Ditahan Miliki Ganja Mampat Bernilai RM85,000

GUA MUSANG, 20 Mac (Bernama) — Seorang wanita warga Filipina dan seorang lelaki tempatan ditahan kerana memiliki 34 kilogram ketulan ganja mampat bernilai RM85,000 di Kilometer 8, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata kedua-dua suspek yang menaiki kenderaan jenis Perodua Axia didapati berada dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan pada 6 petang.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 34 ketulan ganja mampat dalam tiga kotak di tempat duduk belakang kenderaan terbabit yang dianggarkan bernilai kira-kira RM85,000.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berusia 23 tahun itu positif dadah jenis metamfetamina dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah manakala wanita berusia 46 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang hari ini.

Beliau juga berkata ketulan ganja itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran ke Kuala Lumpur dan Lembah Klang melalui Kelantan.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Polis rampas bungkusan tiub ubat gigi ekstrak ganja dialamatkan kepada dua ahli politik

Terdahulu, media melaporkan polis Sepang merampas bungkusan  disyaki ubat gigi ekstrak daun ganja yang dialamatkan kepada dua ahli politik di sebuah syarikat kurier di Pulau Meranti.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof ,berkata rampasan itu dilakukan susulan maklumat daripada laporan  seorang petugas pejabat kerajaan di sini  yang menerima panggilan memaklumkan ada satu bungkusan atas nama dua ahli politik tersebut.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, disyaki bungkusan itu mengandungi barang terlarang dan pada minggu lepas juga pejabat kerajaan tersebut menerima satu bungkusan yang mengandungi daun ganja ,” katanya.

Susulan itu, katanya, polis telah pergi ke hab kurier berkenaan dan merampas barang kes iaitu tiub ubat gigi dengan bercorak daun ganja yang tertera tulisan ‘Happy Green’ yang ditemui dalam satu bungkusan kotak berwarna coklat.

Beliau berkata semakan polis mendapati barang tersebut dibeli pengirim melalui platform Shopee beralamat di Indonesia.

Sumber: BERNAMA

BACA: Polis Rampas Bungkusan Tiub Ubat Gigi Ekstrak Ganja Dialamatkan Kepada Dua Ahli Politik

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana