Siakap Keli
wanita 18 tahun hospital
Kredit: Facebook MAINS

Jatuh & Lumpuh, Wanita Terlantar 18 Tahun Di Hospital

Jatuh & Lumpuh, Wanita Terlantar 18 Tahun Di Hospital

Dapat bergerak bebas merupakan salah satu nikmat yang paling berharga. Dengan jiwa dan tubuh yang ‘merdeka’, kita dapat bergerak ke mana sahaja. Melancong ke tempat menarik dan yang paling penting, beribadah dengan selesa tanpa bergantung kepada apa-apa alat bantuan.

Namun, bukan semua diberi peluang untuk menikmati itu semua. Ada yang ditakdirkan lumpuh sejak seawal usia, sekali gus menghalang pergerakan diri dan hanya mampu terlantar di tempat pembaringan sahaja.

Perkara ini bertepatan dengan kisah seorang wanita muda yang terlantar di hospital selama 18 tahun menerusi hantaran Facebook rasmi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) baru-baru ini.

Mereka menerima maklumat mengenai wanita berkenaan menerusi sebuah pertubuhan kebajikan di bawah Keluarga Diraja Negeri Sembilan, Yayasan Munarah.

Menurut MAINS, wanita berusia 25 tahun itu terlantar di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) sejak berusia 6 tahun lagi.

Wanita muda ini dilaporkan pernah terjatuh semasa kecil dan kesannya hingga menyebabkan lumpuh seluruh badan, patah tulang belakang dan mengalami masalah urat saraf.

MAINS menziarahi wanita tersebut untuk membuat tinjauan mengenai kesukaran yang dialaminya

Menurut hantaran Facebook berkenaan, pihak MAINS telah menziarahi wanita tersebut pada Rabu, semalam bertujuan untuk membantu meringankan beban keluarganya.

Ketika sesi ziarah berlangsung, wanita itu mampu mendengar dan bercakap malah tersenyum ketika berbicara, walaupun mengalami kekangan dari segi pergerakan.

Pada masa itu, dia hanya terlantar di atas katil hospital dan beberapa anggota tangan dan kaki pula kelihata semakin mengecut.

Pihak MAINS diberitahu bahawa wanita ni bakal dipindahkan ke rumah bagi pemantauan ahli keluarga.

Oleh itu, pihaknya akan menyalurkan bantuan dari segi kelengkapan yang diperlukan oleh pesakit ini.

Wanita terlantar 18 tahun di hospital gara-gara lumpuh

“MAINS akan menyalurkan bantuan seunit mesin bantuan pernafasan, set katil pesakit bersama tilam angin dan peralatan-peralatan mekanikal ventilasi pernafasan seperti ‘suction catheter’, ‘suction tubing‘ dan ‘tracheostomy cannula‘.”

Selain itu, ibu wanita tersebut merupakan seorang ibu tunggal dan turut mengalami masalah jantung . Berdasarkan rekod MAINS, ibunya merupakan penerima zakat secara bulanan sejak tahun 2014 lagi.

Sesi ziarah kali ini melibatkan Penolong Pengarah, Unit Khidmat Kesihatan MAINS, Norhafizah Daud dan Pegawai MAINS Daerah Jempol, Junaidi Yahaya.

BACA: “Sampai Sana Jangan Lupa Ibu…Tarik Kami Ke Syurga Ya”- Ibu

Sumber: MAINS via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma