Siakap Keli
Wanita mengandung tersepit
Kredit JBPM

Wanita Mengandung Tersepit Dalam Kemalangan Babitkan Dua Buah Kenderaan

Wanita Mengandung Tersepit Dalam Kemalangan Babitkan Dua Buah Kenderaan

Seorang wanita hamil dilapor tersepit dalam kenderaan yang dinaikinya selepas terlibat dalam kemalangan di Hotel Titiwangsa, Brinchang pada petang tadi, lapor Sinar Harian.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan tersebut melibatkan dua buah kenderaan, sebuah kereta pacuan empat roda jenis Hilux dan sebuah lagi kereta Perodua Bezza.

Tambah Zulfadli, panggilan kecemasan telah diterima oleh pasukan Bomba pada jam 4.11 petang.

“Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

Wanita mengandung tersepit

“Seorang wanita berusia 28 tahun iaitu pemandu Bezza tersepit dan seorang lagi penumpang kereta itu iaitu ibu mangsa turut cedera,” katanya dalam kenyataan pada petang tadi. 

Menurutnya, mangsa yang tersepit telah berjaya dikeluarkan oleh anggota yang terlibat. Mangsa kemudiannya telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

Dua maut manakala lima cedera dalam kemalangan berasingan

Semalam dua wanita dilaporkan maut manakala lima yang lain cedera dan seorang kanak-kanak terselamat dalam sebuah kemalangan. Kemalangan tersebut membabitkan dua kenderaan di Kilometer 58.3, Lebuhraya Senai Desaru menghala ke Senai di Kota Tinggi, semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan I KUP Faizal Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan yang melibatkan kereta Perodua Alza dan Hyundai i30 itu pada pukul 3 petang.

Beliau berkata Alza tersebut membawa enam penumpang dengan dua daripadanya maut, dua lelaki dan seorang perempuan cedera,serta seorang kanak-kanak lelaki. Manakala seorang lelaki dan seorang wanita yang menaiki Hyundai i30 juga cedera.

BACA: Patutnya Kena Bayar RM22.40, Sekali Kat Kaunter Cashier Minta RM8 Ja

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati terdapat dua mangsa tersepit di dalam Alza. PKO bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat. Mereka disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke hospital berdekatan menaiki ambulans KKM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan kemalangan tersebut. Bagaimanapun berkata identiti kesemua yang terlibat dalam kemalangan itu akan dimaklumkan kemudian.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka