Siakap Keli
kunyah Gula-gula getah
Kredit Unsplash

Batal Atau Tak Kunyah Gula-Gula Getah Ketika Berpuasa? Ini Jawapan Mufti

Batal Atau Tak Kunyah Gula-Gula Getah Ketika Berpuasa? Ini Jawapan Mufti

Di bulan Ramadan ini, pasti ramai diantara kita yang mempunyai masalah nafas berbau dan kurang selesa.

Jika sebelum berpuasa mungkin kita boleh mengamalkan makan gula-gula berangin atau gula-gula getah. Tetapi sekarang apabila sudah berpuasa makan gula-gula getah pasti sudah tidak boleh dilakukan.

Namun betul ke kunyah gula-gula getah tak boleh dilakukan semasa bulan puasa ini?

Apa hukum kita sebagai umat Islam untuk mengunyah gula-gula getah di bulan puasa ini?

Jangan risau segala persoalan anda akan terjawab dalam perkongsian pada kali ini.

Oleh itu, mari kita ikuti perkongsian daripada Pejabat Mufti Wilayah berkenaan puasa kita sama ada masih sah atau tidak jika mengunyah gula-gula getah.

Soalan:

Assalammualaikum. Kebiasaannya, gula getah hanya di kunyah dan tidak di telan, jadi ianya tidak sampai masuk ke dalam kawasan tekak. Persoalannya batalkah puasa? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Pada asasnya hukum mengunyah gula – gula getah ketika puasa di sisi mazhab Syafi’i adalah makruh kerana dikhuatiri tertelan sehingga melepasi had yang boleh membatalkan. Walau bagaimanapun pada kebiasaannya   sesiapa yang mengunyah gula-gula getah pasti akan menelan bersamanya air liur yang bercampur perisa gula-gula getah berkenaan yang akan membatalkan puasanya. Oleh yang demikian, tiada keperluan bagi orang yang berpuasa untuk mengunyah gula-gula getah.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Bahagian Had Rongga Mulut

Rongga mulut mempunyai had tertentu yang boleh menyebabkan batal puasa, Fuqaha menentukan piawaian had zahir dan had batin rongga mulut seperti berikut:

Had Zahir: Had zahir dalam mulut ialah makhraj ha’ al-muhmalah (ح) dan kha’ al-mu’jamah (خ)

Had Batin: Had batin dalam mulut ialah  makhraj ha(ه)dan hamzah(ء).Had batin ini membatalkan puasa. [1]

Berdasarkan penentuan had rongga mulut di atas, jelas menunjukkan bahawa kawasan dalam   mulut yang mengunyah makanan merupakan had zahir yang mana ia tidak membatalkan puasa sekiranya sesuatu ain (jirim) masuk ke  kawasan mulut tersebut. Apabila sampai sesuatu ain (jirim) ke dalam tekak pada had batin mahupun melepasi had zahir, maka ia membatalkan puasa.

Selain itu, fuqaha mazhab Syafi’i telah membahaskan hukum mengunyah gula-gula getah tidak membatalkan puasa, namun perbuatan tersebut adalah makruh :

قَالَ الشَّافِعِيُّ وَالْأَصْحَابُ يُكْرَهُ لِلصَّائِمِ الْعِلْكُ لِأَنَّهُ يجمع الريق ويورث العطش والقئ

“Imam al-Syafi’i dan para ulama mazhab Syafi’i berpandangan bahawa mengunyah gula – gula getah adalah makruh bagi orang yang berpuasa kerana ia mengumpul air liur, menimbulkan rasa dahaga dan muntah.”[2]

Selain itu, ulama al-Zuhaili dalam kitab Mu’tamad menyatakan makruh bagi orang yang berpuasa mengunyah gula-gula getah kerana dikhuatiri tertelan  sampai ke rongga perut. Batal puasa bagi mereka yang menelan gula-gula getah.  [3]

BACA: Kata Nak Tengok Je, 5 Punca Ramai Tak Nak Keluar Dari Tempat Ni, Normal Kalau Suami Kena Sidai

Oleh yang demikian, Imam al-Syafi’i menyatakan hukum mengunyah gula-gula getah adalah makruh.  Walau bagaimanapun pada kebiasaanya sesiapa yang mengunyah gula-gula getah pasti akan menelan bersamanya air liur yang bercampur perisa gula-gula getah berkenaan yang akan membatalkan puasanya.

WallahuA’lam.

Semoga dengan perkongsian di atas anda sudah mendapat jawapan kepada persoalan yang membelenggu pada sebelum ini.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka