Siakap Keli
mualaf cabaran puasa
Kredit: Google

Terpaksa Minta Anjing Bawa Makanan, Mualaf Kongsi Cabaran Puasa Ketika Ramadan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Terpaksa Minta Anjing Bawa Makanan, Mualaf Kongsi Cabaran Puasa Ketika Ramadan

Pada 23 Mac lepas, umat Islam menyambut 1 Ramadan dan mula menjalani ibadah puasa selama 29 hari atau 30 hari, bergantung kepada proses cerapan anak bulan pada akhir-akhir Ramadan nanti.

Sering kali kita disuapkan dengan cerita-cerita yang menggelikan hati mengenai Ramadan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kanak-kanak, yang baru mula berpuasa.

Terdapat kisah yang lucu, namun ada juga cerita yang penuh dengan pengajaran hidup yang mendorong kepada muhasabah diri.

Tidak lupa juga, kisah-kisah individu mualaf yang baru sahaja memeluk Islam, pastinya penuh dengan cabaran, kebaikan selain daripada pengajaran.

Kredit: FB Adam Kelvin

Pemuda bernama Adam Kelvin, merupakan seorang mualaf yang telah memeluk Islam melalui kajian pada beberapa tahun yang lalu.

Adam atau nama sebenarnya Eh Jun Guang menceritakan kepada umum mengenai cabaran hidup sebagai mualaf sewaktu mula-mula berpuasa.

Menurut Adam, sepanjang hidupnya dia tidak pernah berfikir untuk melakukan ibadah puasa dan apabila bulan Ramadan tiba Adam selalu berfikir bagaimana umat Islam boleh bertahan untuk berpuasa tanpa makan dan minum.

“Tapi beberapa tahun sebelum memeluk Islam, saya cuba belajar berpuasa dengan kawan-kawan Muslim saya di sekolah.

“Hari pertama tu, macam mau mati. Haha.. Namun, lama-lama dah makin okay. Nikmat dapat makan selepas seharian berpuasa tu sangat best!” katanya memetik hantaran pada Selasa.

Ujarnya, dengan latihan awal yang dibuat, dia tidak mempunyai masalah untuk berpuasa selama sebulan selepas memeluk agama Islam.

BACA: ‘Gengster’ Disapa Hidayah Allah, Kongsi Kisah Peluk Islam – “Mak Nampak Saya Makin Tenang…”

Masuk Islam secara senyap, hadapi pelbagai ujian

Kredit: Google

Kisah sedih rakan mualaf lain mula berpuasa

Dalam pada itu, Adam sempat menyelitkan sedikit kisah sedih mualaf lain apabila dia hadir dalam satu kelas New Muslim di Ampang.

Difahamkan, mualaf tersebut memasuki Islam secara diam-diam susulan kedua ibu bapanya mempunyai sifat yang tegas sehingga dia tidak berani untuk isytiharkan secara terbuka.

“Setiap sudut rumahnya ada CCTV (kamera litar tertutup). Jadinya susah untuk dia berpuasa di waktu siang apabila berada di rumah.

“Apa yang dia buat, setiap kali waktu berbuka, anjingnya akan ambil makanan dan menggongong makanan tersebut ke dalam bilik air.

“Dia buka puasa dalam bilik air. Tapi makanan (yang dibawa anjing) itu ada plastik,” ceritanya.

Adam berkata pengislaman mualaf tersebut hampir diketahui oleh ibu bapanya susulan pemasangan CCTV di dalam biliknya.

CCTV itu dipasang kerana mahu melihat tindak-tanduk mualaf tersebut, sama ada dia sembahyang atau tidak.

Namun, pada bulan Ramadan dia tidak mempunyai peluang selain meminta pertolongan haiwan peliharaannya membawa makanan masuk ke dalam bilik air.

“Disebabkan dia nak tunaikan ibadat puasa dengan sempurna, dia akan stay di luar sampai waktu malam.

“Dia buat ulang kaji kat luar supaya puasanya tidak kantoi apabila pulang ke rumah,” tambahnya.

Dengan perlakuan yang ditunjukkan oleh mualaf tersebut, Adam berasa kagum melihat kesungguhannya dalam melakukan perintah Allah.

Walaupun terdapat cabaran namun mualaf itu tidak pernah lelah dan berputus asa. Namun itulah cabaran yang perlu dihadapi oleh mualaf dalam bulan Ramadan.

Sumber: Adam Kelvin/Facebook

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana