Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Feri Sarat Penumpang Terbakar, Sekurang-kurangnya 28 Maut

Mohd Raimi Ismail
feri sarat penumpang terbakar
Sumber BBC

Feri Sarat Penumpang Terbakar, Sekurang-kurangnya 28 Maut

Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh apabila sebuah feri yang sarat dengan penumpang di lapor terbakar, dalam kejadian yang berlaku di Filipina, pada Rabu.

Mangsa yang terkorban antaranya terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga orang kanak-kanak, termasuk seorang bayi berusia 6 bulan. Sebanyak 230 orang penumpang berjaya diselamatkan.

Difahamkan, feri malang tersebut bertolak daripada Pulau Baluk-baluk dan dalam perjalanan menuju ke sebuah pulau yang lain.

Pada awalnya, pihak berkuasa memaklumkan jumlah mangsa yang hilang tidak dapat ditentukan kerana jumlah tepat penumpang feri itu tidak diketahui. Manakala rekod penumpang pula hanya mencatatkan maklumat 205 penumpang.

Pasukan penyelamat pada mulanya melaporkan angka korban sedozen, rata-rata akibat mati lemas selepas mangsa melompat keluar dari feri dan terjun ke air.

Bagaimanapun, pencarian lanjut membawa penemuan kepada sekurang-kurangnya 18 mangsa korban lagi. Kebanyakan mangsa yang ditemui sudahpun rentung. Menurut pihak berkuasa, tiada tanda-tanda feri tersebut terlebih muatan.

Menurut laporan BBC, kebakaran yang berlaku kira-kira 10.40 malam itu dilaporkan bermula daripada bahagian kabin penghawa dingin feri. Bagaimanapun, punca kebakaran masih belum jelas setakat ini.

Kapten cuba bawa feri ke daratan dengan segera

Kebakaran itu dilapor mencetuskan suasana panik dan kelam-kabut selain kebanyakan penumpang sedang tidur ketika kejadian. Jurukemudi kemudian cuba membawa feri itu menuju ke kawasan daratan secepat mungkin bagi membolehkan penumpang menyelamatkan diri dengan segera.

Menurut salah seorang penumpang yang terselamat, dia mendengar bunyi letupan sebelum kebakaran itu berlaku. Saksi tersebut turut memaklumkan lebih banyak bunyi letupan kedengaran ketika feri itu sedang menunjuk ke kawasan pantai berdekatan.

Filipina yang merupakan negara berpulau dengan lebih 7,000 buah pulau dilapor mempunyai rekod buruk berkenaan keselamatan maritim.

Feri-feri penumpang yang beroperasi di negara itu kebanyakan dilapor sudah usang selain sering terlebih muatan penumpang.

Pada Mei tahun lepas, sekurang-kurangnya tujuh orang maut apabila feri yang membawa 134 orang penumpang terbakar. Pada 1987, Filipina merekodkan tragedi feri penumpang terburuk dalam sejarah dunia. Ketika itu, sebuah feri besar bertembung dengan sebuah kapal tangki minyak dan mengorbankan hampir 5000 orang.

BACA: Ribut Landa Bazar Raya Di Kangar, Khemah Habis Tunggang-Langgang

Sumber : AFP, BBC