Siakap Keli
raya mengejut Jakim
Kredit: Bernama

Jangan Buat Andaian ‘Raya Mengejut’ Tahun Ini, Hormat Ketetapan Majlis Raja-Raja

Jangan Buat Andaian ‘Raya Mengejut’ Tahun Ini, Hormat Ketetapan Majlis Raja-Raja

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberikan peringatan terhadap semua pihak agar tidak membuat sebarang andaian ‘Raya Mengejut’ pada tahun ini.

Selain itu, orang ramai juga diminta untuk menghormati ketetapan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja berkenaan penentuan tarikh sambutan tersebut.

“Jakim ingin memaklumkan, bahawa pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun bagi negara Malaysia adalah dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi setelah mendapat perkenan SPB Yang Di-Pertuan Agong yang mewakili Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja,” kata Jakim dalam satu kenyataan.

Kemudian, pihak tersebut mengulas berkenaan penyebaran satu tangkap layar yang memaparkan “Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023”.

Imej tangkap layar tersebut dipercayai telah disiarkan menerusi sebuah paparan iklan di sebuah masjid.

Menurut kenyataan, paparan tersebut telah menimbulkan ras was was dalam kalangan warga maya berkenaan tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Jakim menegaskan cerapan Hilal Syawal bagi tahun ini berlangsung pada petang hari Khamis, 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April 2023.

Tambahnya lagi, orang ramai digalakkan untuk menyemak ketepatan kalendar hijri agar selari dengan kalendar yang dikeluarkan pihak bertauliah.

“Semua pihak disaran membuat semakan ketepatan tarikh hijri yang terdapat pada jam digital azan khususnya di masjid dan surau agar sentiasa selari dengan kalendar hijri yang dikeluarkan oleh JAKIM atau pihak berkuasa agama negeri dan disahkan oleh Panel Pakar Falak,”

Terdahulu, pengumuman tarikh sambutan Aidilfitri di negeri-negeri seluruh Malaysia ‘tersasar’ daripada jangkaan.

Pada awalnya, sambutan Aidilfitri bagi negeri-negeri seluruh Malaysia diramalkan jatuh pada 3 Mei, bersamaan hari Selasa.

Walau bagaimanapun, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Daniel Syed Ahmad, mengumumkan tarikh hari Raya adalah pada 2 Mei, iaitu Isnin menerusi siaran langsung khas di media arus perdana.

Memetik Astro Awani, pengumuman tersebut ternyata mengejutkan orang ramai kerana tiada sesiapa yang menjangkakan situasi tersebut.

Berikutan itu, suasan menjadi kelam kabut kerana ada yang belum sempat membuat persiapan raya seperti membeli barangan mentah, mengemas rumah, dan juga pulang ke kampung halaman.

Walaupun persiapan menjadi agak kelam kabut, sambutan hari kemenangan ketika itu meriah susulan selepas wabak pandemik COVID-19 berakhir.

BACA: Sempena Ramadan, Ini Cara Tambah Kalendar Hijrah Di Iphone

Sumber: JAKIM via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma