Siakap Keli
peraduan tawar wang tunai
Gambar: Nestle

Peraduan Tawar Hadiah Wang Tunai Tidak Benar, Hanya Taktik Penipuan – Nestle 

Peraduan Tawar Hadiah Wang Tunai Tidak Benar, Hanya Taktik Penipuan – Nestle

KUALA LUMPUR —  Nestle Malaysia dalam satu kenyataan semalam memberi amaran kepada orang ramai berhubung sindiket penipuan ‘Peraduan MILO Ramadan’ yang tular di WhatsApp.

Difahamkan, peraduan itu menawarkan hadiah wang tunai kepada orang awam dengan melengkapkan borang soal selidik.

Perkara itu turut dikongsikan oleh MILO Malaysia dalam satu hantaran di Facebook rasmi.

Nestle dalam kenyataan memberitahu bahawa pihaknya memandang serius perkara tersebut. Tambahan lagi, kes tersebut telah dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Sila ambil perhatian bahawa pesanan ini merupakan penipuan yang bertujuan untuk memperdayakan orang ramai.

“Sekiranya anda menerima hantaran atau mesej berhubung peraduan ini, jangan kongsikan semula kiriman tersebut.

“Jangan memberikan sebarang maklumat peribadi (seperti nombor akaun bank) dan membuat sebarang pembayaran,” maklum Nestle dalam kenyataan tersebut.

BACA: Nestlé Keluarkan Rangkaian Dua Minuman Tanpa Tenusu, Almond Latte & Oat Latte

Rujuk laman rasmi Nestle & Milo

Sehubungan itu, syarikat tersebut berharap  agar orang ramai hanya merujuk laman web rasmi MILO bagi sebarang peraduan.

“Sila rujuk hanya laman web rasmi MILO kami untuk peraduan di www.milo.com.my.

“Jika ragu-ragu atau memerlukan maklumat atau penerangan lanjut, segera hubungi Pusat Perkhidmatan Pengguna Nestlé di www.nestle.com.my/contactus atau 1-800-883-433,” kata Nestle.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai pautan peraduan tersebut yang disebarkan di aplikasi WhatsApp sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan netizen.

Untuk pengetahuan, kejadian yang hampir serupa turut berlaku pada tahun lalu. Difahamkan, tular satu peraduan di Facebook fan page (MILO FANS) yang dipercayai dianjurkan sempena Ulang tahun Milo ke-87.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan memperingatkan kepada orang ramai bahawa akaun Facebook tersebut tidak dikendalikan oleh Nestle Malaysia.

Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang pautan yang meragukan dan sentiasa memeriksa laman web rasmi syarikat itu untuk mengetahui maklumat berkaitan sebarang peraduan.

BACA JUGA: “Kerja Takkan Habis,” Susah Nak Faham Penat Suri rumah, Ini Cara Nak Hargai ‘Bidadari’ Di Rumah Korang

Sumber: Facebook MILO Malaysia

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?