Siakap Keli
Khairul Aming Kuantiti Minyak
Gambar: Twitter Khairul Aming

“Kalau Saya Ubah Resepi..,” Khairul Aming Perjelas Isu Kuantiti Minyak Dalam Masakan

Kalau Saya Ubah Resepi..,” Khairul Aming Perjelas Isu Kuantiti Minyak Dalam Masakan

Nama Khairulaming ibarat fenomena dalam alam maya, lebih-lebih lagi pempengaruh dan chef itu menjadi sebutan di bulan Ramadan ini dengan video resepi makanan dan minumannya yang menyelerakan.

Sering tampil dengan slogan “Hey Wassap Gais”, pengasas sambal Nyet itu baru-baru ini menjadi bualan setelah mendapat teguran mengenai kuantiti minyak masak yang digunakan olehnya.

Terbaru, beliau dalam satu hantaran video berdurasi empat minit 36 saat  menjelaskan mengenai perkara tersebut.

“Saya terima banyak maklum balas dengan hati yang terbuka. Terima kasih dengan maklum balas itu,” katanya.

Tambah pempengaruh berusia 30 tahun itu, dia sangat bersetuju bahawa kesihatan adalah perkara utama.

Lanjutan itu, Khairul dalam video berkenaan berkongsi pandangannya dari dua perspektif yang berbeza.

Perjalanan Turunkan Berat Badan

Maklumnya, sebagai seorang yang pernah mengalami obesiti, dia bercita-cita untuk melangsingkan badan dan berada dalam kategori yang sihat (ideal).

Dalam klip rakaman di Twitter, turut memaparkan perjalanannya dari berat 113 kilogram (Kg) hingga sekarang dengan berat 100 kg.

Gambar: Twitter Khairul Aming

“Lemak dalam badan (Body Fat) saya juga turun dari 44 peratus turun ke 29 peratus,” katanya.

Faktor yang menyebabkan dirinya berjaya menurunkan berat badan adalah disebabkan pemakanan.

“Sebab mengapa adalah saya bina hubungan yang sihat dengan makanan tempatan di sekeliling saya,” ujarnya lagi.

Gambar: Twitter Khairul Aming

Jelasnya lagi, sebelum ini, dia pernah melakukan perkara yang sama dan berjaya menurunkan berat badan. Bagaimanapun, beratnya kembali naik malah lebih tinggi dari sebelumnya.

Hal ini kerana Khairul memberitahu bahawa dia menderita sewaktu melakukan diet itu.

Gambar: Twitter Khairul Aming

Khairul turut memberi nasihat bahawa setiap orang boleh mengambil makanan yang disukai namun dalam kuantiti terkawal.

BACA JUGA: Penangan Khairul Aming, Ramai Suami Luah Isteri Masing-masing Kirim Benda Sama

“Saya tukar cara dengan makan secara teratur namun pada masa yang sama, saya dapat nikmati makanan tempatan.

“Makanan kita sedap, rugi kalau tak makan sebenarnya, cuma kita kena kawal portion,” katanya.

Seorang Pencipta Kandungan (Content Creator) Makanan

Sebagai pencipta kandungan resepi makanan, tahap kesihatan makanan seperti kuantiti minyak masak dalam makanan sering menjadi pertikaian.

Maklum Khairul Aming lagi, setiap makanan boleh dikurangkan kuantiti minyak atau menukar resepi namun rasa asalnya akan hilang. Sekiranya resepi asal diubah, ia turut memberikan kesan kepada pihak di luar sana dan dirinya.

“Kalau saya ubah resepi tu dan jadi kurang sedap. Bila orang di luar sana cuba dan tak sedap dia akan marah saya balik,” jelasnya.

Selain itu, tujuan mengapa setiap video masakannya menunjukkan jumlah bahan yang digunakan adalah untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai.

“Sebab mengapa saya tunjuk pakai berapa sudu gula berapa banyak minyak sebab saya nak bagi realiti. Inilah cara sebenar makanan disediakan di luar sana.

“Sekarang bila saya dah tunjukkan kepada anda semua cara penyediaannya, sekurang-kurangnya anda dapat berwaspada dengan minyak masak.

“Kalau aku beli mi goreng di kedai, banyak ni minyak. Kalau order teh O ais limau banyak ni sebenarnya gula dekat dalam,” katanya.

Tegasnya, bagi mereka di luar sana yang ingin mengubah resepi menjadi lebih sihat dan berkhasiat, sentiasa amalkan pengambilan kuantiti makanan (amal konsep suku-suku separuh).

Sumber: Twitter Khairul Aming 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?