Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KWSP: ‘Rakyat Susah, Resah, Ada Yang Nak Jual Buah Pinggang’ – Dakwa WAF

rakyat wan ahmad fayhsal
Kredit: BERNAMA

KWSP: ‘Rakyat Susah, Resah, Ada Yang Nak Jual Buah Pinggang’ – Dakwa Wan Ahmad Fayhsal

Rakyat begitu susah sehingga ada yang mahu menjual buah pinggangnya (demi meneruskan hidup), namun inisiatif kerajaan masih menjadi persoalan bagi sesetengah pihak.

Demikian dakwaan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengenai isu pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang semakin tegang akhir-akhir ini.

Imbas kembali seperti yang dilapor media, Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan selepas isu pengeluaran bersasar KWSP tidak dibahaskan dalam Dewan Rakyat hari ini.

Susulan itu, Wan Ahmad Fayhsal menggesa supaya Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan bertulis mengenai inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat sekiranya tiada pengeluaran bersasar.

Ujarnya, beliau masih belum menerima jawapan berkenaan dengan soalan itu yang dibangkitkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada Khamis lepas.

Beliau turut mendakwa, terdapat sesetengah rakyat yang berada dalam keadaan susah dan resah sehingga mahu menjual buah pinggang.

“Sebab dalam soalan saya itu, kalau tidak dapat beri keizinan untuk pengeluaran bersasar, apakah cadangan lanjut daripada kerajaan untuk membantu kerajaan untuk bantu rakyat yang susah, yang resah?

“Bahkan, sampai ada yang jual buah pinggang, yang datang berjalan dari Johor ke Istana Negara pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, kesusahan yang dirasai oleh rakyat tidak boleh dibuat main kerana ia melibatkan kepentingan umum.

“Ini bukan perkara main-main, perkara besar yang melibatkan kepentingan umum.

“Malangnya, Kementerian Kewangan sampai sekarang, tiada lagi jawapan yang munasabah yang boleh kami berikan kepada rakyat,” tambahnya.

BACA: Kenapa Pejabat Perdana Menteri Adakan Lawatan Tergesa-gesa? – Wan Ahmad Fayhsal

Baru bersidang beberapa minit, pembangkang keluar dewan

Terdahulu, media melaporkan kekecohan Dewan Rakyat bermula selepas Wan Ahmad Fayhsal membangkitkan isu tersebut kepada Timbalan Speaker Alice Lau Kiong.

Difahamkan, usul itu telah ditolak kerana perkara tersebut telah dijelaskan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan sebelum ini.

Pembangkang menegaskan bahawa isu melibatkan rakyat seperti isu pengeluaran KWSP perlu dibahaskan dengan kadar segera.

Namun Alice Lau menyatakan bahawa keputusan yang dibuat oleh Yang Dipertua Dewan dan keputusan Speaker adalah muktamad.

Dalam keadaan yang kecoh, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin kemudiannya berkata pihaknya akan keluar daripada dewan sekiranya isu itu tidak dibahaskan.

“Kalau tidak mahu dibahaskan, kita boleh keluar untuk menunjukkan kita protes,” balas Hamzah.

“Silakan,” balas Alice Lau.

Kemudiannya, Ahli Parlimen Pembangkang mengadakan sidang media di Lobi Parlimen selepas bertindak keluar Dewan Rakyat.

Sumber: Awani