Siakap Keli
bunuh bayi lelaki enam bulan
Kredit: BERNAMA

Bapa Didakwa Bunuh Bayi Lelaki Berusia Enam Bulan

Bapa Didakwa Bunuh Bayi Lelaki Berusia Enam Bulan

IPOH, 6 April (Bernama) — Seorang jururawat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi kandungnya yang berusia enam bulan, Mac lepas.

Tertuduh, 30, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Jesseca Daimis kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, penjawat awam itu didakwa membunuh Muhammad Zakir Asyraf yang berusia enam bulan di sebuah rumah di Kampung Kepayang, Fairpark di sini kira-kira 10 malam, 17 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jesseca kemudian menetapkan 12 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Lelaki dipenjara 18 bulan bunuh bayi perempuan di Labuan

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi Labuan selepas didapati bersalah memukul bayi perempuannya sehingga menyebabkan kematian pada 2018.

Hakim Leonard David Shim memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 18 Ogos 2018.

Difahamkan, tertuduh mengaku tidak bersalah membunuh bayi perempuan berusia sembilan bulan antara 10 hingga 13 Ogos 2018 di rumah sewanya di Kampung Gersik Lama, ketika kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Labuan pada 25 Jan 2022.

Pertuduhan itu kemudian dipinda daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh) kepada Seksyen 304 (a) kanun sama (membunuh tanpa niat).

Pada 15 Mei 2022, hakim mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Maidin dan memerintahkan tertuduh membela diri.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kes itu dibuka pada 15 Ogos 2018 apabila bedah siasat menunjukkan kematian bayi itu disebabkan kecederaan parah di kepala, kecederaan tisu lembut di muka, melecur pada jari tangan dan kaki serta bronkopneumonia.

Lelaki itu ditahan pada 16 Ogos 2018 dan pada mulanya didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Labuan pada 29 Ogos 2018, sebelum ditahan reman di Penjara Kepayan, Kota Kinabalu, Sabah sementara menunggu laporan penuh siasatan.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana