Siakap Keli
Chelsea Lantik Semula Lampard
Gambar: AFP

Chelsea Bincang Lantik Semula Lampard, Jadi Jurulatih Sementara

Chelsea Bincang Lantik Semula Lampard, Jadi Jurulatih Sementara

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea dilapor berbincang untuk melantik semula bekas pengendalinya, Frank Lampard sebagai pengurus sementara kelab itu.

Menurut tweet wartawan bola sepak terkemuka dunia, Fabrizio Romano, Lampard dijangka akan mengisi posisi itu sehingga tamat musim ini.

Lampard dilaporkan bersedia untuk menerima tawaran tersebut.

Dalam pada itu, kelab akan terus mengadakan rundingan untuk mendapatkan pengurus tetap selepas ini. Antara nama yang disebut-sebut sebagai bakal pengurus kelab berkenaan adalah Julian Nagelsmann dan Luis Enrique. Bagaimanapun, keputusan akhir akan ditentukan oleh jawatankuasa tertinggi kelab.

Frank Lampard pernah melatih kelab berkenaan bermula Julai 2019 sebelum dipecat pada Januari 2021 ekoran prestasi buruk dalam saingan liga. Antara pencapaian terbaik beliau sepanjang bergelar pelatih Chelsea adalah membimbing kelab itu ke perlawanan akhir Piala FA pada musim pertamanya.

Menurut statistik, Lampard mempunyai rekod 44 kemenangan dalam 84 perlawanan bersama Chelsea, tetapi mencatatkan lima kekalahan dalam lapan perlawanan terakhir liga.

Lantik dan pecat jurulatih bersilih ganti

Posisi itu kemudian diisi oleh pengendali berasal dari Jerman, Thomas Tuchel yang berjaya membawa Chelsea menjuarai Liga Juara-juara Eropah pada tahun yang sama.

Namun, prestasi terumbang-ambing kelab selepas itu menyaksikan Tuchel disingkirkan sebelum diganti dengan Graham Potter. Malangnya, bekal pengendali Brighton itu juga gagal memberikan impak yang diharapkan walaupun mendapat sokongan kelab sehingga terpaksa dipecat tiga hari lepas.

Manakala Lampard, selepas dipecat Chelsea, telah dilantik menjadi jurulatih Everton bagi menggantikan Carlo Ancelotti yang mengambil keputusan untuk berpindah ke Real Madrid. Bagaimanapun, Lampard sekali lagi dipecat pada Januari 2022, lapan hari sebelum genap setahun beliau bersama Everton.

Chelsea lantik semula Lampard, hingga akhir musim

Pemecatan itu ekoran keputusan buruk dengan sembilan kekalahan dicatatkan dalam 12 perlawanan liga.

Chelsea kini berada di kedudukan 11 liga dengan perlawanan terakhir liga berlangsung di Stanford Bridge pada Selasa lepas. Dalam perlawanan bertemu Liverpool itu, keputusan berkesudahan seri tanpa jaringan.

Kelab berkenaan ketinggalan 14 mata daripada empat tempat teratas walaupun berbelanja mewah lebih 550 juta Pound (RM 3 bilion) membeli deretan pemain baharu.

BACA: Rasmi, Graham Potter Tinggalkan Chelsea

Sumber: Fabrizio Romano, BBC

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.