Siakap Keli
Harimau malaya
Kredit FAM via Facebook

Harimau Malaya Melonjak Tangga Ke-138 Dunia

Harimau Malaya Melonjak Tangga Ke-138 Dunia

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) — Skuad Harimau Malaya melonjak tujuh anak tangga dari ranking ke-145 ke ranking ke-138 dunia dalam senarai terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), hari ini.

Perkembangan terbaharu menerusi kenyataan di laman sesawang rasmi www.fifa.com itu, menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon berhasil mengumpul 1,082.13 mata dengan peningkatan 15.53 mata yang berjaya ditambah pada tahun ini.

Kenaikan ranking dipengaruhi oleh dua kemenangan yang dilakar skuad negara ke atas Turkmenistan serta Hong Kong pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Mac lepas.

Perkembangan positif ini meletakkan pasukan kebangsaan setanding dengan beberapa pasukan lain seperti Turkmenistan (137), Saint Kitts and Nevis (139) dan Nicaragua (140).

BACA: Ada 800 Kedai Pakaian, Ni Tempat Terbaik Korang Beli Baju Raya, Senang ‘Match’ Satu Keluarga

Malaysia mengumpul 1,082.13 mata lebih tinggi berbanding Indonesia di kedudukan 149 (1,046.14 mata) serta Singapura di kedudukan 158 dunia (1,014.04 mata).

Sementara itu, tiga negara Asia Tenggara seperti Vietnam, berada di kedudukan 95 dunia (1,229.69 mata), Thailand berada di kedudukan 114 dunia (1,171.88 mata) manakala Filipina di ranking 136 dunia (1,097.67 mata).

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka