Siakap Keli
apa itu pterygium
Gambar Hiasan: American Optometric Association

Ketahui Apa Itu Pterygium & Bagaimana Cara Merawatnya

Ketahui Apa Itu Pterygium & Bagaimana Cara Merawatnya

Mata merupakan anugerah yang paling berharga untuk kita semua. Tanpa mata, manusia tidak dapat melakukan tugas seharian dengan sempurna.

Mata berfungsi untuk mengesan rangsangan cahaya sama ada keadaan sekeliling terang atau gelap. Selain itu, ia merupakan alat semula jadi untuk kita melihat sesuatu.

Jadi, kita perlu menjaga dan memelihara kesihatan mata agar  dapat menggunakannya dalam jangka masa yang lama.

Kendatipun begitu, mata merupakan salah satu organ yang mudah diserang penyakit jika kita tidak menjaganya dengan baik.

Antara masalah yang sering berlaku pada mata adalah rabun, ketumbit, silau dan lain-lain. Tetapi, pernahkah anda mendengar mengenai Pterygium?

 

Bagi mereka yang masih tertanya-tanya apa itu Pterygium dan punca ia berlaku, mari kita ikuti perkongsian PORTAL myHEALTH untuk mengetahuinya lebih lanjut.

Menurut PORTAL myHEALTH, Pterygium ialah ketumbuhan yang berbentuk segi tiga di bahagian mata. Masalah mata seperti ini tidak berbahaya dan bukan sejenis kanser.

Difahamkan, keadaan tersebut boleh berlaku pada konjuntiva atau tisu kosa yang melitupi bahagian mata putih.

Dalam pada itu, bagi sesetengah kes pterygium yang teruk, ia akan memberi kesan kepada permukaan kornea iaitu bahagian tengah mata yang meliputi mata hitam.

Ia kebiasaannya tidak mendatangkan masalah yang serius atau memerlukan rawatan tetapi perlu dibuang sekiranya menganggu penglihatan.

Punca berlakunya Pterygium?

Pterygium secara signifikan boleh berlaku sekiranya mata terdedah kepada sinaran ultra-ungu. Ia dikatakan turut lebih kerap berlaku pada mereka yang tinggal di kawasan bercuaca panas dan kering serta mereka yang kerap berada di luar bangunan di bawah sinaran matahari.

Sementara itu, pterygium lebih berisiko berlaku jika berada di kawasan yang mempunyai lapisan ozon yang nipis. Ia berlaku kerana kurangnya penapisan sinaran ultra-ungu.

Manakala, berkulit cerah juga boleh menjadi faktor lain yang menyebabkan berlakunya pertumbuhan pterygium.

 Gejala dan Tanda Pterygiym

Adakah anda mengalami keadaan seperti ini?

Pertama mata anda akan kelihatan merah. Kedua, merasa tidak selesa dalam mata seperti berpasir.

Selain itu, anda akan merasa seperti ada bendasing di dalam mata dan mata juga sering kering. Tidak cuma itu, penglihatan juga akan kabur sekiranya pterygium telah merebak ke lapisan kornea.

Apakah Rawatan Pterygium?

Untuk pengetahuan anda, rawatan bagi penyakit ini sebenarnya bergantung kepada saiz, status, gejala pterygium dan sama ada ia menganggu penglihatan atau tidak.

Ia boleh dirawat dengan dua cara iaitu secara medikal dan pembedahan.

Rawatan Medikal

Bagi rawatan secara medikal, ubat titis mata perlu digunakan untuk mengurangkan ketidakselesaan mata dan mata merah.

Rawatan Pembedahan

Pembedahan untuk membuang Pterygium akan dilakukan sekiranya ia menganggu penglihatan anda.

Pembedahan tersebut akan dijalankan selama 30 minit. Pesakit kebiasaannya akan dibius setempat.

Selepas ia selesai, pesakit akan diberikan ubat titis mata (kombinasi antibiotik dan steroid) bagi mengelakkan berlakunya sebarang jangkitan kuman. Dalam masa sam ia membantu proses penyembuhan.

Mencegah masalah Pterygium

Menurut American Academy Beberapa perkara yang perlu dielakkan supaya tidak mengalami masalah mata daripada terkena penyakit Ptergygium antaranya ialah memakai cermin mata untuk mengelakkan dari terkena sinaran matahari, habuk dan angin yang kuat. Selain daripada itu ialah menggunakan pelembap mata (ubat titis) apabila mata anda kering.

Sumber: Portal Health dan American Academy

Ezzatul Syafiqah