Pujuk Untuk Berdamai, Farid Kamil Tawar RM319,700 Kepada Diana
Pelakon Farid Kamil, 42, didakwa nekad membuat tawaran pendamaian sebanyak RM319,700 kepada Diana Daniell, 32, bagi memujuknya demi menyelamatkan rumah tangganya, lapor Sinar Harian.
Tawaran itu dilaporkan merangkumi beberapa aset milik Farid termasuk kereta mewah, barang kemas dan wang pendahuluan nafkah.
“Saya, Farid Kamil Zahari dengan setulus hati di bulan Ramadan penuh barakah ini ingin menawarkan kepada isteri saya, Diana Danielle Danny Beeson tawaran pendamaian sebagai usaha saya menyelamatkan keluarga yang amat saya sayangi.
“Saya amat berharap dengan tawaran yang membawa jumlah keseluruhan sebanyak RM319,700 ini mampu melembutkan hati isteri demi masa depan anak-anak kami,” katanya.
Farid ditemui selepas proses sulh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada hari ini.
Tawaran yang dibuat Farid dilaporkan berupa sebuah kereta Toyota Velfire bernilai RM225,000, barang kemas bernilai RM10,700.00, wang pendahuluan nafkah bernilai RM40,000 serta bayaran balik tiket umrah bernilai RM44,000 yang sepatutnya adalah hadiah.
Difahamkan bahawa, sewaktu sebutan permohonan cerai yang difailkan Diana, pelakon itu telah dinasihatkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling untuk berdamai.
Terdahulu, pelakon filem Imaginur itu telah memfailkan permohonan cerai terhadap Farid pada 10 Mac lalu. Pelakon itu didakwa memberi alasan sudah tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan yang berpanjangan.
Namun, permohonan yang dibuat oleh Diana itu telah ditolak oleh Farid yang enggan melafazkan cerai tersebut.
Menurut peguam syarie yang mewakili Diana, Akberdin berkata bahawa Mahkamah Tinggi Syariah juga mengeluarkan perintah hak penjagaan sementara anak kepada Diana pada 24 Mac lalu.
Tambahnya, pada 23 Mac lalu juga, Diana telah membuat permohonan hadanah kepada Mahkamah Syariah.
Terdahulu, pelakon Farid Kamil dilaporkan tiba di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari Selangor. Ketibaannya pada 28 Mac lalu adalah untuk sebutan kes permohonan cerai yang difailkan isterinya.
Ketibaan Farid Kamil ke Mahkamah juga mendapat perhatian selepas dia dilihat membawa sejambak bunga sebagai simbolik perdamaian bagi kedua pasangan tersebut.
Sumber: Sinar Harian