Siakap Keli

MYDIN, MBSB Bank Kongsi Rezeki Raikan Ramadan

SELANGOR, 10 APRIL 2023: Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) dan MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) meneruskan inisiatif berkongsi rezeki melalui pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai serta menyantuni anak-anak yatim menerusi program pembelian amal dengan menyediakan kelengkapan pakaian raya.

Melalui kolaborasi tersebut MYDIN dan MBSB Bank telah mengagihkan 40,000 pek bubur lambuk kepada pengunjung dan komuniti sekitar yang turut melibatkan 27 cawangan MYDIN, antaranya di Tunjong (Kelantan), Subang Jaya (Selangor), Sandakan (Sabah), Petra Jaya dan Samariang (Sarawak), Parit Buntar (Perak), Taman Batik (Kedah), Masjid India (Kuala Lumpur) dan cawangan- cawangan yang lain.

Aktiviti penyediaan bubur lambuk ini mendapat kerjasama rakan-rakan pembekal strategik syarikat lain yang turut terlibat iaitu Adabi, Beras Era, Bistari, Faiza, H Elite Hotel, Inazul, Indra Valley, Maggi, OEL, Promax, SJ Echo, Saji, serta Universiti UCSI.

Pada program yang berlangsung di MYDIN Subang Jaya pada Sabtu lepas, MBSB Bank turut meraikan anak-anak yatim dari rumah Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Teratak Ummi, Gombak dan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakah Malaysia, Banting, Selangor dengan menyumbang kelengkapan pakaian raya seperti baju melayu, baju kurung, kuih raya serta duit raya bagi menyempurnakan sambutan perayaan yang bakal menjelang.

Turut hadir pada program “Raikan Ramadan” Ketua Pegawai Strategi MBSB Bank, Dato’ Azlan Shahrim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Nor Azam M. Taib serta Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin.

Aktiviti agihan bubur lambuk percuma ini berlangsung sehingga 13 April 2023 dan berakhir di MYDIN MITC (Melaka).

Pelanggan serta orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program agihan bubur lambuk percuma ini boleh melayari laman media sosial rasmi MYDIN Malaysia atau layari laman sesawang www.mydin.my.

Amira

Love yourself.