Siakap Keli
lelaki 13 motosikal klcc ditahan polis
Kredit: Bernama

Lelaki Bakar 13 Motosikal Ditahan Di KLCC – Polis

Lelaki Bakar 13 Motosikal Ditahan Di KLCC – Polis

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) — Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis semalam beberapa jam selepas insiden 13 motosikal dan empat skuter elektrik terbakar di ruangan parkir pusat beli-belah Suria KLCC, di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata suspek berusia 34 tahun itu direman sehingga 19 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata sejurus menerima laporan berkaitan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah membuka satu kertas siasatan.

“Dalam tempoh beberapa jam, polis berjaya menahan suspek bagi membantu siasatan serta merampas sebuah motosikal jenis Honda RS, serangkai kunci motosikal, sebuah topi keledar, sepasang sarung tangan dan satu pemetik api.

“Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan dan setakat ini sebanyak 10 laporan polis telah diterima daripada pihak yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sembilan motosikal dan empat skuter elektrik terbakar sepenuhnya manakala empat motosikal yang lain, terbakar antara tiga hingga 20 peratus, dalam kejadian pada 3.45 petang itu.

Dalam perkembangan berasingan, Noor Dellhan berkata 11 individu termasuk warga asing telah ditahan semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan tawaran kerja dalam talian.

Beliau berkata suspek yang terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang wanita warga asing berusia lingkungan 18 hingga 46 tahun itu ditahan hasil serbuan di sebuah premis di Jalan Ampang, di sini.

“Hasil siasatan, sindiket ini telah beroperasi selama hampir sebulan dan kesemua tangkapan berperanan sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan yang menawarkan pekerjaan dalam talian kepada warganegara asing di luar negara.

“Turut dirampas 10 unit komputer, tujuh unit pemprosesan pusat (CPU) komputer, sebuah modem dan tiga unit router,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek kini direman sehingga 17 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

BACA: Sembilan Motosikal, Empat Skuter Elektrik Musnah Dalam Kebakaran Di Suria KLCC

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma