Apa Status Solat Orang Yang Dinaiki Kucing Ketika Solat? Ini Jawapan Dr Zulkifli
Tular baru-baru ini berkenaan sebuah video yang memaparkan seekor kucing yang memanjat badan seorang imam ketika sedang mengetuai solat tarawih.
Kejadian tersebut didakwa berlaku ketika seorang imam sedang mengimamkan solat sunat tarawih di sebuah masjid di salah sebuah negeri Algeria, Bourg Bou Arreridj.
Rakaman video menunjukkan kucing tersebut telah memanjat badan imam tersebut. Kemudian imam dilihat tenang membelai kucing berkenaan sambil meneruskan bacaannya ketika mengimamkan solat tersebut.
Rentetan daripada penyebaran video tersebut, persoalan daripada netizen mula timbul berkenaan status solat tersebut.
Adakah solat tersebut sah?
Untuk mengetahui jawapan kepada persoalan berkenaan, mari kita ikuti perkongsian daripada Dr Zulkfili berkenaan status solat imam tersebut.
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Baru-baru telah tular seorang Imam yang sedang mendirikan solat, telah didatangi oleh seekor kucing, lalu kucing tersebut telah melompat ke badannya sehingga ke bahunya, dan kucing itu meletakkan mulutnya (menjilat) pada pipi Imam tersebut. Soalan saya, adakah sah solat orang tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mengambil maklum akan kejadian yang tular baru-baru ini, di mana terdapat rakaman memaparkan seekor kucing melompat ke atas seorang Imam ketika mendirikan solat tarawih. Difahamkan, kejadian berlaku ketika Imam Walid Mehsas mengimamkan solat tarawih di Bordj Bou Arreridj, Algeria. Dalam rakaman, kelihatan Imam Walid tenang meneruskan bacaan meskipun kucing berkenaan memanjat dan cuba duduk di bahunya.[1]
Sebelum menjawab, di sana terdapat hadith daripada riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
يَقْطَعُ الصَّلَاةَ الْمَرْأَةُ وَالْحِمَارُ وَالْكَلْبُ
Maksudnya: “Yang memutuskan solat (seseorang) adalah perempuan, keldai dan anjing.”
Riwayat Muslim (511)
Jumhur ulama berpendapat bahawa tidak batal solat seseorang disebabkan oleh sesuatu yang melintas di hadapannya. Makna terputusnya solat sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith adalah kurangnya pahala solat kerana hatinya — yakni fokusnya — telah terganggu dengan perkara-perkara tersebut. (Lihat al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim, 2/193). Selain itu, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, lafaz “القطع” (terputus) di sini bermaksud terputus daripada khusyuk dan zikir kerana dia telah disibukkan dengannya serta telah berpaling kepadanya. Bukan kerana perkara itu merosakkan atau membatalkan solatnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/251).
Oleh itu, jelaslah bahawa perkara-perkara tersebut, yakni yang dinyatakan sebagai pemutus solat bukanlah bermaksud membatalkan solatnya, tetapi menyebabkan kekhusyukkan dan perhatiannya ketika solat terganggu. Akhirnya, ia telah membawa kepada kurangnya ganjaran pahala solatnya. Oleh sebab itu, ketika solat kita hendaklah berusaha semampu mungkin dalam menjaga kekhusyukkan solat kita dan menjauhi segala perkara yang boleh menyebabkan hati kita hilang fokus ketika solat.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Rasulullah SAW kepada Khaulah binti Yasar. Khaulah bertanya kepada Baginda SAW:
يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tiada pakaian lain melainkan sehelai ini sahaja, dan sekarang aku sedang haid mengenakan pakaian tersebut. Apakah yang perlu aku buat?” Baginda SAW menjawab: “Apabila engkau telah suci daripada haid engkau, maka basuhlah pakaian itu (yang terkena haid), kemudian solatlah dengan menggunakan pakaian itu.”
Riwayat Abu Daud (365)
Hadith di atas menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkan agar pakaian yang dipakai untuk solat perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada segala jenis najis. Justeru, sekiranya seseorang ketika dalam solat terkena najis yang tidak dimaafkan atau mengetahui pakaiannya ada najis (secara pasti), misalnya pada bajunya, maka jika dia mampu menanggalkan bajunya itu (tanpa mendedahkan aurat) lalu segera melakukannya, maka dia boleh meneruskan solatnya dan solatnya dikira sah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri bahawa:
أنّ رسولَ اللهِ ﷺ صلّى، فخلَع نَعلَيْه، فخلَع النّاسُ نِعالَهم، فلمّا انْصرَف، قال: لمَ خلَعْتم نِعالَكم؟ فقالوا: يا رسولَ اللهِ، رأَيْناكَ خلَعْتَ فخلَعْنا، قال: إنّ جِبريلَ أتاني فأَخبَرَني أنّ بهما خَبَثًا، فإذا جاء أحَدُكمُ المسجِدَ، فلْيَقلِبْ نَعلَه، فلْيَنظُرْ فيها، فإنْ رَأى بها خَبَثًا فلْيُمِسَّه بالأرضِ، ثُم لِيُصَلِّ فيهما
Maksudnya: “Rasulullah SAW mendirikan solat, kemudian Baginda menanggalkan seliparnya dan orang ramai pun ikut sama menanggalkan selipar mereka. Ketika selesai mendirikan solat, Baginda bertanya: ‘Kenapa kamu menanggalkan selipar kamu?’ Mereka menjawab: ‘Wahai Rasulullah, kami melihat engkau menanggalkan selipar maka kami juga menanggalkan selipar kami.’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya Jibril datang menemuiku dan mengkhabarkan kepadaku bahawa ada kotoran di kedua seliparku. Oleh itu, jika salah seorang daripada kamu datang ke masjid, hendaklah dia membalikkan seliparnya lalu melihat adakah terdapat kotoran padanya. Jika dia melihat ada kotoran pada seliparnya, maka hendaklah dia menggosokkannya ke tanah. Setelah itu, dirikanlah solat dengan mengenakan kedua selipar itu.’”
Riwayat Abu Daud (650); riwayat Ahmad (11153) dan lafaz hadith daripadanya. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (11153) menyatakan, sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam Muslim.
Justeru, kucing termasuk dalam jenis haiwan yang dianggap suci dan bukannya najis serta ia selalu berkeliaran di sekeliling manusia. Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik ada melaporkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.” Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”
Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68); Ibn Majah (367)
Maka, kita ketahui bahawa di sana ada kelonggaran dan hukum khas yang diberikan kepada kucing kerana ia termasuk dalam haiwan yang biasanya berkeliaran di tempat tinggal manusia atau dijadikan sebagai haiwan peliharaan.
Al-San‘ani menyebutkan dalam kitabnya bahawa Allah SWT telah memberikan kelonggaran kepada hamba-Nya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan kepada manusia, dan hadith ini merupakan dalil bahawa kucing itu adalah suci, begitu juga bekas minumannya (air yang telah diminum). (Lihat Subul al-Salam, 1/33).
Menurut Imam al-Nawawi, dalam mazhab al-Syafi‘i, air baki jilatan kucing itu adalah suci dan tidak makruh menggunakannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/172). Ibn Qudamah juga ada menyatakan bahawa bagi setiap haiwan hukum kulitnya, bulunya, peluhnya, air matanya atau air liurnya adalah mengikut hukum bekas minumannya (air yang telah diminum) sama ada suci atau najis. (Lihat al-Mughni, 1/39).
Berkenaan bulu kucing
Seterusnya berkenaan bulunya pula, al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa bahagian yang terpisah daripada haiwan yang hidup, hukumnya adalah seperti bangkainya. Dalam erti kata lain, haiwan yang hidup itu, sekiranya bangkainya adalah suci maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai suci. Sekiranya bangkainya adalah najis maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai najis. Oleh itu, bahagian yang terpisah daripada manusia, ikan atau belalang adalah suci, manakala haiwan selainnya adalah dianggap najis. Adapun, bahagian yang terpisah daripada haiwan yang sudah mati, hukumnya mengikut sebagaimana haiwan tersebut mati (disembelih ataupun tidak) tanpa syak lagi melainkan pada bulu haiwan yang boleh dimakan. Hukumnya adalah suci secara ijma‘ para ulama. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/235).
Oleh itu, pada asalnya menurut mazhab Syafi‘i bulu kucing yang tercabut semasa ia masih hidup dianggap sebagai najis kerana kucing termasuk dalam kategori haiwan yang tidak halal dimakan. Walaupun begitu, ia adalah dimaafkan jika sedikit. Begitu juga dimaafkan bagi mereka yang bekerja sebagai doktor haiwan, penjaga zoo dan lain-lain kerjaya yang tidak dapat mengelakkan diri daripada kucing — termasuklah mereka yang memeliharanya. Hal ini dinyatakan oleh Syeikh Ibrahim al-Bajuri sebagaimana berikut:
وَخَرَجَ بِالـمَأْكُولِ غَيْرُهُ كَالحِمَارِ وَالـهِرَّةِ فَشَعْرُهُ نَجِسٌ لَكِن يُعْفَى عَن قَلِيلِهِ بل وعَن كَثِيرِهِ فِي حَقٍّ مَن ابتلى به كالقصاصين
Maksudnya: “Dikecualikan dengan hukum haiwan yang halal dimakan (halal bulunya) iaitu selainnya seperti keldai dan kucing. Maka bulunya adalah najis namun dimaafkan jika sedikit. Bahkan (turut dimaafkan) dalam jumlah banyak (bulunya) bagi individu yang ada kesulitan dengannya seperti pemotong bulu.” (Lihat Hasyiyah al-Baijuri ‘ala Ibn Qasim al-Ghazi, 2/290).
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa solat seseorang yang mana kucing melompat atau memanjat ke atas badannya adalah tidak terbatal dan masih lagi dikira sah. Apatah lagi kucing termasuk dalam haiwan yang dianggap suci kerana ia merupakan haiwan peliharaan dan sukar untuk dikawal serta sangat jinak dengan manusia.
Begitu juga dengan air liurnya adalah dianggap suci selagi mana tidak diketahui ia ada memakan atau meminum benda-benda bernajis sebelumnya. Adapun berkenaan bulunya pula, jika terkena pada pakaian, ia dimaafkan disebabkan oleh kesukaran untuk mengawalnya dan jumlah bulu yang tercabut yang kebiasaannya sedikit.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
Diharap dengan perkongsian di atas boleh menjawab persoalan yang berlegar di minda anda berkenaan status solat tersebut. Semoga perkongsian ini dapat memberikan ilmu serta manfaat kepada semua pembaca.
Sumber: Maktabah Al Bakri