Siakap Keli
media israel fifa indonesia
Kredit: AFP via CNN Indonesia

Media Israel Puji FIFA Selepas Piala Dunia B-20 Dibatalkan Di Indonesia

Media Israel Puji FIFA Selepas Piala Dunia B-20 Dibatalkan Di Indonesia

Media Israel The Jerusalem Post melontarkan pujian melangit kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas membatalkan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun (U-20) 2023.

Lapor CNN Indonesia, keputusan FIFA memberi kesan besar terhadap negara tersebut dan tindakan itu dikesali oleh peminat bola sepak Indonesia namun mendapat pujian ‘setinggi langit’ daripada media Israel.

Media Israel The Jerusalem Post dalam laporannya berkata bahawa tindakan FIFA untuk menarik kembali status tuan rumah Piala Dunia B-20 daripada Indonesia wajar dipuji.

“FIFA harus dipuji kerana mengambil pendirian tegas dan tidak membenarkan (diskriminasi) ini berlaku.

“Undang-undang FIFA secara eksplisit melarang sebarang bentuk diskriminasi terhadap mana-mana negara. Pendirian teguh organisasi ini terhadap diskriminasi anti-Israel menunjukkan bahawa ia mengambil serius terhadap undang-undangnya.

“Ini patut dipuji, kami berharap negara dan badan sukan lain akan mengawal selia perkara ini dengan melakukan pemantauan dan penyimpanan rekod,” tulis The Jerusalem Post.

Media Israel juga percaya Indonesia sepatutnya boleh menggunakan status penganjur Piala Dunia B-20 untuk membuktikan kepada dunia selepas Tragedi Kanjuruhan yang mengorbankan 135 orang.

Ujarnya, Indonesia perlu menggunakan peluang yang diberi dengan membuktikan bahawa negara tersebut bukan seperti yang disangka oleh orang ramai.

BACA: FIFA Singkir Indonesia Sebagai Tuan Rumah Piala Dunia B-20

“Kali terakhir Indonesia menjadi tajuk utama dunia ialah berkaitan dengan tragedi Oktober lalu yang meragut nyawa 135 orang.

“Tragedi tersebut tercetus selepas polis yang tidak bertanggungjawab menggunakan gas pemedih mata.

“Ini adalah peluang bagi Indonesia untuk menunjukkan kepada dunia dan rakyatnya sendiri bahawa Indonesia jauh lebih baik daripada itu.

“Ini juga adalah peluang terbaik bagi Indonesia untuk terus maju,” katanya.

Indonesia digugur jadi tuan rumah

Terdahulu, media melaporkan Indonesia secara rasmi digugurkan menjadi tuan rumah untuk penganjuran Piala Dunia B-20 2023 yang akan diadakan pada Mei.

Perkara ini disahkan selepas FIFA membatalkan status tuan rumah Indonesia untuk Piala Dunia B-20 pada akhir Mac lalu.

Akibat pembatalan itu, FIFA juga melakukan sekatan ke atas Indonesia dengan membekukan dana FIFA Forward.

Indonesia dilapor melakukan penolakan penyertaan pasukan Israel di kejohanan tersebut.

Sumber: CNN

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana