Siakap Keli
adik bongsu nik aziz meninggal dunia
Kredit: FB Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Adik Bongsu Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Meninggal Dunia

Adik Bongsu Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Meninggal Dunia

Adik bongsu bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Ustaz Nik Razi Nik Mat dilapor telah meninggal dunia di rumahnya di Pulau Melaka, Kota Bharu sekitar pukul 8 pagi tadi.

Lapor Awani, solat jenazah akan diadakan di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka selepas solat Asar.

Difahamkan, berita duka itu turut dikongsi oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam catatan Facebook miliknya.

“Berita duka kembalinya menemui pencipta tokoh ulama Kelantan Tuan Guru Nik Razi Nik Mat pada pagi ini 26 Ramadan 1444H setelah diuji sakit terlantar hampir 4 bulan.

“Almarhum yang juga merupakan adinda kepada Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memberi sumbangan yang begitu besar khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan kepada masyarakat.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan takziah kepada ahli keluarganya almarhum Tuan Guru. Semoga Allah SWT membalas segala jasa yang dicurahkan, mengampunkan dan merahmatinya disisi para solehin,” katanya.

Tidak kurang juga mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri turut berkongsi mengenainya di laman Facebook.

“Pagi ini menerima berita pemergian adik bongsu kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Tuan Guru Nik Razi Nik Mat.

“Pemergian yang sudah tentu sukar dicari ganti.

“Semoga Allah SWT menempatkan roh Almarhum Tuan Guru bersama para syuhada serta muttaqin di syurga-Nya. Amin ya rabbal alamin,” tulis hantaran itu pada hari ini.

Berdasarkan perkongsian terkini pendakwah Ustaz Mohd Nasruddin Daud, Allahyarham sudah pun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Melaka selepas Asar tadi.

BACA: Qari Terkenal, Ustaz Nik Azizan Al Farisi Meninggal Dunia

Terima rawatan dari hospital Kubang Kerian

Terdahulu, media melaporkan Allahyarham telah menerima rawatan dari Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Pada bulan lalu, beliau telah dibawa pulang ke rumah oleh ahli keluarganya.

Sedikit maklumat mengenai Allahyarham yang juga Bendahari Dewan Ulama Pas Kelantan, beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Selain itu, beliau juga adalah bekas pengetua Maahad Muhammadi Lelaki dan bekas pensyarah Pondok Kandis Bachok.

Sementara itu, beliau turut dikenali sebagai pendakwah yang sering mengusaha membangunkan institusi pendidikan Islam.

Sumber: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri/Facebook, Awani

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana