Siakap Keli
Main Mercun Lepas 12 Malam
Gambar: Bernama

Main Mercun Lepas 12 Malam & Ganggu Ketenteraman Awam Boleh Dikenakan Tindakan

Main Mercun Lepas 12 Malam & Ganggu Ketenteraman Awam Boleh Dikenakan Tindakan

KUALA LUMPUR — Tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada individu yang bermain mercun melebihi jam 12 tengah malam sekiranya mengganggu ketenteraman awam, lapor Sinar Harian.

Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, mana-mana individu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 13, Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) dengan denda tidak melebihi RM100.

Boleh Disabitkan Kesalahan Jika Main Mercun Lepas 12 Malam

“Tindakan tegas terhadap individu yang didapati sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda. Mereka boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” maklumnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, bunga api itu turut berisiko mendatangkan kecederaan kepada mereka yang bermain. Hal ini kerana bahan letupan itu dikategorikan sebagai  “dangerous good cargo” (DGC) dan “hazard class division” (HCD) 1.4g.

“Individu yang ingin bermain bunga api atau mercun hendaklah membakarnya di kawasan lapang. Ia supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat.

BACA JUGA: Polis Kelantan Jangka Permohonan Permit Jual Mercun Akan Meningkat

“Masyarakat terutama ibu bapa diingatkan supaya mengawasi anak masing-masing ketika bermain bunga api, bertanggungjawab serta mengamalkan langkah keselamatan semasa mengendalikan bunga api dalam mana-mana sambutan perayaan,” jelasnya lagi.

Jual Mercun Tanpa Permit

Sebelum ini, seramai sembilan individu termasuk dua lelaki warga Indonesia ditahan oleh pihak polis. Ia susulan kesemua mereka dipercayai menjual mercun tanpa permit, lapor Bernama.

Difahamkan, pelbagai mercun bernilai RM30,000 telah dirampas pihak berkuasa. Rampasan itu dibuat selepas serbuan yang dilakukan di beberapa premis di sekitar Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitenden Hussin Zamora berkata, enam lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua lelaki warga asing berusia 22 hingga 50 tahun ditahan antara jam 8.30 malam hingga 11.30 malam.

Penangkapan itu dilakukan oleh pasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi.

“Hasil serbuan, polis merampas 16 kotak besar dan empat plastik. Ia mengandungi pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM30,000 selain dipercayai dijual tanpa permit,” katanya dalam satu kenyataan.

Kesemua premis yang diserbu juga tidak mempunyai permit menjual mercun dan bunga api.

Hasil semakan mendapati, dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau. Manakala seorang lagi berkaitan kes jenayah komersial.

Sumber: Sinar Harian

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?