29 Orang Dilapor Maut Dalam Kebakaran Di Hospital Beijing
BEIJING — Sekurang-kurangnya 29 orang dilaporkan terkorban dalam satu kebakaran di sebuah hospital di ibu kota China hari ini, lapor AFP.
Menurut Beijing Daily, kejadian itu berlaku di Hospital Changfeng, daerah Fengtai Beijing.
Pasukan penyelamat memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian sebelum jam 1 petang waktu tempatan. Seramai 71 pesakit sempat dipindahkan sewaktu kejadian.
Difahamkan, api berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar 30 minit kemudian. Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih sedang dijalankan bagi mencari mangsa.
Pegawai Tertinggi Bandar dan Setiausaha Parti Beijing, Yan Li dalam satu lawatan sejurus kebakaran di lokasi kejadian berjanji bahawa kerajaan akan berusaha mengenal pasti punca insiden itu dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, dalam perkongsian video oleh pengguna media sosial memaparkan kejadian berkenaan. Klip itu menunjukkan sebahagian mereka cuba menyelamatkan diri dengan bertindak duduk di atas penyaman udara di luar bangunan.
At least 21 people died after a fire erupted in a Beijing hospital on Tuesday. Patients trapped inside were forced to balance on air-conditioning units, awaiting rescue, while at least one jumped to a roof below to escape the flames and smoke. https://t.co/0HbZOspOKi pic.twitter.com/lAkhREA1qO
— The New York Times (@nytimes) April 18, 2023
Selain itu, ada juga yang berpaut pada tali sebelum melompat dari bangunan itu.
BACA JUGA: Empat Kanak-Kanak Maut Dalam Kebakaran Rumah Di Muar
Menurut akhbar China Youth Daily, kebanyakan mangsa merupakan warga emas dan mempunyai masalah mobiliti.
Jumlah kematian yang disahkan sehingga kini adalah 29 orang. Mangsa yang terselamat telah dibawa hospital lain bagi rawatan selanjutnya.
Bagaimanapun, jumlah mangsa yang tercedera dalam kebakaran itu masih belum diketahui. Sehingga kini, kes tersebut masih dalam siasatan
Untuk makluman, Hospital Beijing Changfeng terletak kira-kira 25 minit dari Dataran Tiananmen dengan menaiki kereta.
Piawaian keselamatan dan penguatkuasaan yang lemah dikatakan antara punca kebakaran maut yang sering berlaku di negara berkenaan.
Terdahulu, seramai 10 orang dilaporkan terbunuh dalam kebakaran di blok apartmen di barat laut Xinjiang pada November lalu. Hasil siasatan mendapati punca kejadian tercetus akibat protes terhadap sekatan Covid-19.
Pada bulan yang sama, 38 orang dilaporkan terbunuh dalam satu kebakaran di sebuah kilang di tengah China. Pihak berkuasa percaya kejadian itu berpunca akibat kerja-keja kimpalan oleh pekerja secara haram.
Sumber: AFP