Siakap Keli
idea baju raya klasik
Kredit: BERNAMA

Ini 5 Idea Baju Raya Klasik Untuk Nampak Lebih Anggun & Sopan Di Pagi Raya

Ini 5 Idea Baju Raya Klasik Untuk Nampak Lebih Anggun & Sopan Di Pagi Raya

Sewaktu hari raya, kalau boleh semuanya perlu sempurna. Bermula dengan tudung, baju dan juga solekan, pastinya perlu nampak cantik kerana Aidilfitri memberikan 1,001 kenangan.

Tetapi walaupun sudah meningkat dewasa, tidak ramai yang masih mengetahui cara pemilihan baju yang boleh menyerlahkan kecantikan rupa supaya nampak anggun dan ayu.

Raya semakin menghampiri, persiapan juga perlu dibuat dengan cepat agar di pagi raya tiada masalah yang akan tercetus. Untuk tidak membuang masa, mari ketahui petua pemilihan baju yang perlu dipakai untuk lebih menonjol di pagi raya.

Ikuti perkongsian Hello Doktor di bawah ini.

BACA: Ada Isu Bila Beli Baju Raya “Online”? Ini Cara Nak Buat Aduan Kepada KPDN

5 Idea Baju Raya Klasik Yang Selesa Dipakai 1 Syawal, Lebih Anggun & Sopan Di Pagi Raya!

Apabila lebaran semakin dekat, maka pasar raya di seluruh negara akan dipenuhi pengunjung yang biasanya mencari kelengkapan berhari raya. Antara yang paling mendapat permintaan tinggi sudah tentunya baju raya. Bagi kaum wanita, baju raya merupakan komponen paling penting sewaktu sambutan hari raya. Biasanya, baju tradisional sering menjadi pilihan walaupun terdapat banyak lagi stail atau fesyen pakaian moden. Pakaian wanita Melayu zaman dahulu merupakan antara gaya menarik yang boleh anda lestarikan semula di pagi hari raya. Ini beberapa jenis pakaian orang Melayu zaman dahulu yang boleh anda pertimbangkan.

#1. Pakaian wanita Melayu zaman dahulu: Baju kurung Kedah

Kredit: Hello Doktor

Baju kurung Kedah agak berbeza daripada baju kurung biasa yang sering kita pakai. Ini kerana, labuh bajunya agak singkat jika dibandingkan dengan baju kurung yang lain.

Ia boleh dikatakan menyerupai blaus pendek kerana labuhnya hanya di sekitar bahagian punggung sahaja.

Potongannya juga agak longgar dengan corak bunga-bunga kecil. Ia biasa dipadankan dengan kain batik atau skirt labuh.

Ada juga yang mengenakan kain pelikat untuk menaikkan lagi seri pakaian tersebut.

#2. Baju kurung Pahang

Baju kurung Pahang juga disebut sebagai baju kurung Riau Pahang. Pakaian wanita Melayu zaman dahulu ini mempunyai potongan yang sedikit menarik kerana ia mempunyai pesak yang agak kembang dan disambungkan dengan kekek gantung.

Disebabkan bajunya yang labuh dan melebar di bahagian hujung, ia boleh digayakan oleh sesiapa sahaja walaupun untuk mereka yang mempunyai saiz badan yang agak besar.

Baju ini dikatakan sebagai simbolik hubungan dua hala antara Kerajaan Pahang dan juga Riau pada suatu masa dahulu.

Baju kurung Pahang juga sering menjadi pilihan untuk digayakan pada majlis-majlis rasmi.

#3. Pakaian wanita Melayu zaman dahulu: Baju kebaya

Kredit: Hello Doktor

Baju kebaya mempunyai pelbagai versi mengikut kepada jenis etnik atau kaum yang mengenakannya.

Ada jenis kebaya Melayu, kebaya moden, kebaya Peranakan dan juga kebaya Jawa. Biasanya, baju atau blaus bagi kebaya menggunakan jenis kain yang sedikit jarang.

Kerongsang juga menjadi antara aksesori wajib jika anda memakai kebaya.

Ia juga lebih menyerlah dengan potongan baju yang agak berbentuk dan ditemani corak-corak yang agak floral. Kini, baju kebaya telah direka semula untuk menyesuaikannya dengan suasana hari raya dengan rekaan yang lebih polos dan tidak berlebih-lebihan.

#4. Baju kurung Johor

Pakaian orang Melayu zaman dahulu yang satu ini merupakan antara jenis baju yang paling sering dipakai oleh golongan wanita.

Ia juga disebut sebagai baju kurung Teluk Belanga kerana telah diperkenalkan oleh Sultan Johor Moden pertama iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar sewaktu baginda bersemayam di Teluk Belanga, Singapura.

Baju ini mempunyai labuh sehingga di bawah lutut dan bahagian leher baju dijahit dengan jenis jahitan halus.

Uniform sekolah bagi pelajar perempuan sekolah menengah dan rendah juga direka berasaskan baju kurung Johor.

#5. Baju kurung Perak

Kredit: Hello Doktor

Pakaian wanita Melayu zaman dahulu di negeri Perak ini sudah agak sukar untuk ditemui. Ia mungkin hanya dipakai sewaktu persembahan atau majlis-majlis tertentu sahaja.

Baju kurung Perak merupakan jenis pakaian yang dipakai oleh puteri-puteri di negeri Perak pada zaman dahulu.

Rekaannya agak unik kerana baju ini dipadankan dengan seluar dan juga sampin yang lebih sinonim sebagai pakaian orang lelaki.

Selain itu, bahagian leher baju juga mempunyai kolar seperti baju Melayu cekak musang.

Elakkan pakaian yang begitu ketat

Walaupun hari raya merupakan peluang untuk anda melaram dan berhias sebaiknya, namun anda masih perlu berwaspada dengan tidak memakai baju tradisional yang terlalu ketat.

Jika anda membeli pakaian siap jahit, pastikan ia sesuai dengan saiz badan anda dan tidak terlalu ketat.

Begitu juga dengan pakaian yang ditempah, pastikan ukurannya benar-benar selesa dan sepadan dengan saiz badan. Baju tradisional yang terlalu ketat boleh menyebabkan iritasi atau keradangan pada kulit anda.

Selain itu, ia boleh membataskan pergerakan anda dan boleh menyebabkan anggota badan menjadi kebas.

Anda digalakkan untuk mengambil inspirasi daripada pakaian wanita Melayu zaman dahulu, namun pastikan ia tidak memberikan kesan negatif kepada tubuh badan anda.

Sumber: Hello Doktor

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.