Tempat Letak Kereta Runtuh, Seorang Dilaporkan Maut
NEW YORK– Sekurang-kurangnya seorang dilaporkan maut manakala empat lagi dikejarkan ke hospital selepas tempat letak kenderaan bertingkat runtuh dalam kejadian di New York City pada Selasa.
Memetik laporan AFP, rakaman video yang telah dimuat naik di laman sosial menunjukkan beberapa kenderaan yang bertindih akibat runtuhan itu.
Pihak berkuasa berkata bahawa bahagian luar kawasan tempat letak kereta itu berada dalam keadaan baik namun ia juga berisiko untuk runtuh.
Menurut Ketua Operasi Jabatan Bomba, John Esposito, mereka telah menerbangkan dron untuk mencari jika ada mangsa yang masih terperangkap.
Difahamkan, terdapat enam pekerja yang berada di dalam bangunan itu ketika kejadian berlaku.
“Empat daripada mereka telah dihantar ke hospital dalam keadaan stabil. Manakala, seorang mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Tambahnya lagi, seorang mangsa tidak mahu menerima rawatan perubatan.
Sementara itu, pihak bomba menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan mengelakkan diri dari berada di tempat kejadian.
BACA: (Video) Detik Mendebarkan Puluhan Kereta ‘Ditelan’ Lubang Besar Akibat Runtuhan Jalan
Kejadian Tanah Runtuh Di Tempat Letak Kenderaan Sebelum Ini
Terdahulu, satu lubang besar dilaporkan secara tiba-tiba muncul di tempat letak kereta di Jerusalem pada tahun 2021.
Difahamkan kejadian yang berlaku di Pusat Perubatan Shaare Zedek itu telah menelan sejumlah kereta, lapor The Times of Israel.
Sebuah terowong yang dalam pembinaan terletak di bawah hospital serta kawasan parkir berkenaan juga turut runtuh.
Susulan kejadian itu, tujuh trak bomba telah dihantar ke lokasi kejadian.
Lubang besar itu dipercayai berlaku hasil daripada kerja pembinaan berdekatan dengan laluan baru di pintu masuk Jerusalem.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Video yang dikongsikan di media sosial menunjukkan kereta jatuh ke dalam lubang yang besar tersebut.
BACA JUGA: Tak Pernah Dibuat Orang, Lelaki Kongsi Resepi Udang Celup Biskut Gulung, Sedap & Unik
BACA JUGA: Resepi Ringkas Pun Jadi Sedap, Ini Bahan Wajib Ada Kalau Nak Rendang Ayam Sempurna
Sumber: AFP