Bot Dinaiki Karam, Nelayan Indonesia Diselamatkan Lepas Enam Hari Terdampar Di Pulau Australia
Sekumpulan nelayan warga Indonesia terpaksa menerima rawatan selepas tersadai di kawasan persisiran pantai barat Australia selama enam hari berikutan dua bot yang dinaiki mereka karam.
Menurut pihak berkuasa pada Rabu, mereka tersadai selama enam hari tanpa sebarang bekalan makanan dan minuman.
Difahamkan, 10 lelaki berkenaan telah dibawa arus sehingga ke daratan Pulau Bedwell, yang terletak kira-kira 300 kilometer dari barat bandar resort, Broome.
Bot yang dinaiki mereka ketika menangkap ikan telah karam akibat dilanda taufan tropika di Lautan India.
Nelayan ke-11 dari bot kedua dilaporkan turut terdampar selepas berada dalam air selama 30 jam.
Namun, pihak berkuasa mengalami kebimbangan terhadap sembilan orang rakannya yang lain selepas bot yang dinaiki karam di dalam lautan yang sangat dalam.
Terperangkap dalam sebuah pulau yang tidak dapat menampung keperluan asas
Beberapa foto menunjukkan mangsa telah membina kem sementara di pantai yang sempit, bersama-sama barangan yang sempat diselamatkan dari bot tersebut.


Untuk makluman, Pulau Bedwell merupakan kawasan yang terpencil, terbuka dan tidak dapat didiami. Hanya ‘padang’ pasir putih tanpa memiliki sebarang elemen perlindungan secara semula jadi serta ketiadaan sumber air tawar.
Nelayan Indonesia diselamatkan
Mereka yang terdampar di pulau itu kemudiannya dibawa keluar oleh helikopter penyelamat pada petang Isnin. Mereka diselamatkan selepas dikesan oleh pesawat pengawasan Pasukan Sempadan Australia ketika melakukan rondaan.
Seterusnya, mereka telah menerima rawatan perubatan di Australia dan bakal pulang ke Indonesia selepas pulih, kata pihak berkuasa tempatan.
“Susulan ketibaan mereka ke tanah besar Australia, setiap individu yang terbabit dalam insiden itu akan diberikan penjagaan yang rapi.” kata Australian Maritime Safety Authority dalam satu kenyataan.
Sebelum ini , Taufan Tropika Ilsa telah melanda kawasan barat Australia pada Jumaat, minggu lepas. Ketika kejadian tersebut, ia memberi impak ke atas beberapa wilayah perairan dengan kekuatan angin yang dilaporkan antara yang terkuat di negara tersebut.
BACA: Tak Jadi Bercerai, Syamsul Tak Lafazkan Cerai Ke Atas Puteri Sarah
Sumber: AFP