Siakap Keli
bermain mercun bahayakan nyawa
Kredit: Sinar Harian

Orang Ramai Diingatkan Tidak Bermain Mercun Hingga Bahayakan Nyawa Awam

Orang Ramai Diingatkan Tidak Bermain Mercun Hingga Bahayakan Nyawa Awam

Orang ramai diingatkan untuk tidak bermain mercun sehingga membahayakan nyawa dan ketenteraman orang lain, lapor Sinar Harian.

Amaran tersebut diberikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan kepada individu yang bermain bunga api dan mercun ketika menyambut kedatangan Syawal.

Katanya, mereka yang membakar mercun perlu sentiasa mematuhi aspek keselamatan dan diminta mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Kita sedia maklum terdapat kebenaran berkaitan mercun dan bunga api mengikut peraturan ditetapkan.

“Namun pada masa sama perlu dititik beratkan soal keselamatan diri serta orang ramai.

“Jangan main mercun sehingga ganggu orang awam, akibatkan kebakaran harta benda atau akibatkan kecederaan diri dan orang lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Hussein berkata sekiranya terdapat individu yang menganggu ketenteraman orang lain, maka pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap yang terlibat.

Oleh hal yang demikian, pemantauan akan dijalankan supaya tiada orang ramai yang melakukan sebarang pelanggaran undang-undang.

Tambahnya, polis turut menerima satu laporan berkaitan kes yang menganggu ketenteraman orang awam ketika bermain mercun.

“Rondaan dan pemantauan akan sentiasa dijalankan bagi memastikan tiada berlakunya pelanggaran undang-undang berkaitan pembakaran mercun.

“Setakat ini ada beberapa laporan diterima melibatkan kes individu yang cedera di Gombak dan tindakan seorang individu yang bermain mercun di tengah jalan raya, tindakan telah diambil berhubung kedua kejadian tersebut,” ujarnya.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa menjaga ketenteraman jiran tertangga.

Mereka turut digalakkan untuk menyambut Aidilfitri tanpa mengganggu orang lain.

“Bergembiralah pada Aidilfitri ini dengan selamat, jangan bakar mercun sehingga ganggu jiran berdekatan,” katanya.

BACA: Polis Kesan Individu Bakar Mercun Dari Balkoni Pangsapuri

Tindakan dikenakan bagi individu bermain mercun melebihi tengah malam

Terdahulu, satu tindakan undang-undang akan dikenakan kepada individu yang bermain mercun melebihi jam 12 tengah malam.

Perkara itu ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyatakan ia akan disiasat di bawah Seksyen 13, Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100.

“Tindakan tegas terhadap individu yang didapati sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda.

“Ia boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, Setiausaha PDRM.

Sumber: Sinar Harian

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana