Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KKM Perkenal MyLapor, Mudahkan Orang Awam Laporkan Kesalahan Merokok

MyLapor
Kredit: Bernama

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan sistem MyLapor yang mula beroperasi hari ini, 12 Oktober, sebagai saluran aduan digital bagi membolehkan orang awam melaporkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook hari ini, KKM memaklumkan sistem itu dibangunkan bagi memudahkan orang awam membuat aduan, selain memperkukuh pengurusan aduan dan tindakan penguatkuasaan oleh anggota kesihatan.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha pendigitalan perkhidmatan KKM untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memastikan aduan diuruskan secara lebih sistematik.

Tiga cara membuat aduan menerusi MyLapor

Menurut KKM, orang awam boleh mengemukakan aduan menerusi tiga kaedah, iaitu menggunakan aplikasi MySejahtera, mengimbas kod QR MyLapor atau mengakses pautan https://kkmhub.moh.gov.my/mylapor/public.

Setiap aduan akan disalurkan terus kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat berdasarkan lokasi kejadian bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan lebih cepat, tepat dan berkesan.

Selain itu, pengadu juga boleh menerima notifikasi mengenai status aduan yang dibuat menerusi aplikasi MySejahtera.

Pelaksanaan sistem ini turut membolehkan orang awam melaporkan kesalahan tanpa perlu bersemuka dengan individu yang melakukannya.

Bantu tingkatkan pematuhan larangan merokok

KKM berkata, pengurusan aduan secara digital juga membolehkan pihaknya memantau aduan, mengenal pasti lokasi yang memerlukan perhatian serta merancang tindakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan.

Penglibatan aktif masyarakat menerusi MyLapor diharap dapat meningkatkan pematuhan terhadap larangan merokok dan melindungi orang ramai, khususnya kanak-kanak, daripada pendedahan kepada asap rokok.

Sehubungan itu, KKM menyeru orang awam supaya menggunakan sistem berkenaan secara bertanggungjawab dengan memberikan maklumat yang tepat dan lengkap bagi membantu siasatan.

Pemilik dan pengusaha premis juga digalakkan memaparkan kod QR MyLapor di lokasi yang mudah dilihat serta memastikan pematuhan terhadap larangan merokok di premis masing-masing.

MyLapor diperkenalkan dengan slogan “Lihat, Klik, Lapor” sebagai usaha memperkukuh penguatkuasaan Akta 852 demi melindungi kesihatan awam.

Intipati
  • KKM memperkenalkan MyLapor sebagai saluran digital aduan kesalahan merokok di bawah Akta 852.
  • Aduan boleh dibuat melalui MySejahtera, kod QR MyLapor atau pautan rasmi disediakan KKM.
  • Setiap aduan disalurkan kepada PKD terdekat untuk tindakan penguatkuasaan lebih cepat dan berkesan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan