Siakap Keli
kedai jual mercun meletup
Gambar: Astro Awani

PDRM Nafi Kejadian Tular Kedai Jual Mercun Meletup Berlaku Di Alor Setar

PDRM Nafi Kejadian Tular Kedai Jual Mercun Meletup Berlaku Di Alor Setar

PDRM menerusi laporan Astro Awani menafikan kejadian tular yang mendakwa sebuah kedai mercun meletup di Alor Setar, Kedah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata laporan kejadian itu diterima kira-kira jam 11.30 malam tadi.

“Polis telah menerima laporan mengenai video dalam aplikasi TikTok yang menularkan kejadian kedai menjual mercun meletup berhadapan sebuah kedai menjual telefon pintar di bandaraya ini.

“Selepas disiasat mendapati kejadian itu tidak berlaku di kawasan Alor Setar, sebaliknya berlaku di kawasan pentadbiran Balai Bahau, Negeri Sembilan,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Ujar Ahmad Shukri, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, 233 Akta Komunikasi Multimedia. Akta itu yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya atau denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau seterusnya mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menularkan isu berita palsu. Tindakan itu dikhuatiri boleh menimbulkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam.

Terdahulu, satu potongan video yang mendakwa sebuah kedai mercun meletup menjadi tular di media sosial, khususnya menerusi platform TikTok.

Menerusi video tersebut, dapat dilihat api menyala dipercayai berpunca daripada kebakaran mercun.

Video berkenaan pantas mendapat perhatian ramai warga maya yang turut tidak ketinggalan berkongsi pandangan masing-masing.

Rata-rata meninggalkan nasihat mengingatkan orang ramai lebih berhati-hati dan tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri.

KPWKM Nasihati Ibu Bapa Awasi Anak-Anak Main Mercun, Bunga Api

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memantau dan mengawasi anak-anak mereka ketika bermain mercun atau bunga api sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri.

Timbalan Menteri berkenaan Aiman Athirah Sabu berkata ibu bapa perlu lebih peka dan tidak mengabaikan anak-anak mereka. Pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 sekiranya pengabaian berlaku.

BACA: Tips Sental Lantai Sampai Berkilat, Hanya “Polish” & Guna Bahan Ni

Sumber: Astro Awani 

Ezzatul Syafiqah