Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tindakan Abang TLDM Nekad Terjun Laut Selamatkan Anak Anjing Sesat Raih Pujian Ramai
Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan sekumpulan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sanggup menggadai nyawa dengan terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan seekor anak anjing yang lemas berhampiran dermaga.
Video yang dimuat naik oleh @khaixzaa di TikTok menunjukkan dua anggota tentera sanggup melakukan apa sahaja demi menjaga keselamatan anak anjing tersebut.
Video yang berdurasi lebih daripada dua minit itu telah menjadi tular sehingga mendapat sebanyak 1.5 juta tontonan, 102,000 tanda suka, 6,699 komentar dan kira-kira 2,000 orang membuat perkongsian setakat artikel ini ditulis.
Pada permulaan video itu, seorang anggota tentera nekad terjun ke dalam air sebelum berenang ke arah haiwan berkenaan sambil memegang pelampung keselamatan.
Namun, anak anjing tersebut tidak dapat menahan diri daripada rasa takut dan bertindak berenang ke arah bertentangan di tempat sempit yang tidak boleh dilalui oleh anggota itu.

Tidak lama kemudian, haiwan itu berenang kembali menuju ke daratan dan keadaan itu membuatkan anggota yang lain melemparkan baldi ke bawah sebagai alatan untuk menyelamatkannya.
Akan tetapi, haiwan tersebut tidak dapat masuk ke dalam baldi itu dan berenang kembali ke tempat bertentangan dalam keadaan yang tidak selesa.

Situasi yang dilihat mudah itu sebenarnya merupakan situasi sulit susulan haiwan tersebut tidak memberi kerjasama kerana tidak dapat berinteraksi secara lisan dengan manusia.
Dalam keadaan yang tegang itu, seorang rakannya mengambil keputusan untuk terjun ke laut bagi memudahkan proses penyelamatan anak anjing itu.
Mereka berdua kemudian mengejar haiwan tersebut dengan berenang dekat ke arahnya sambil memegang pelampung dan juga tali.
Tidak lama kemudian, anggota tersebut menangkap anak anjing itu dan berenang semula ke arah daratan.
Dalam keadaan yang bersusah payah, anggota itu memegang erat haiwan tersebut kerana tidak mahu ia terlepas dan menjadikan situasi bertambah buruk.
Selepas meletakkannya ke dalam baldi, anak anjing itu membuat percubaan untuk melarikan diri namun anggota itu dengan tangkas menangkapnya semula.
Anggota yang lain mengangkat baldi tersebut dan segera meletakkannya di daratan kerana tidak mahu haiwan itu melarikan diri ke arah laut.
BACA: (Video) Lelaki Teruja Jumpa Anak Anjing Bermata Satu, Percaya Bakal Bawa Tuah
Menjengah di ruangan komen, rata-rata mereka memuji keberanian tentera laut itu kerana sanggup meletakkan nyawa dalam bahaya.
Sementara itu, ada di antara mereka yang terhibur dengan gelagat yang ditunjukan haiwan itu yang membuatkan anggota tersebut mengalami detik cemas buat seketika.
“Mana tahu esok dekat padang mahsyar abang-abang terpilih masuk ke syurga terus,” kata Blacksheep.
“Terbaik insan-insan berhati mulia,” tambah Zacai.
“Semoga menjadi asbab untuk segala kebaikan mendatang,” ujar Wardah.
“Syukur telah dipertemukan Allah dengan mereka ini dan dia selamat. Semoga dia berada dalam keadaan baik-baik,” seloroh Izza.
“Korang memang terbaik, terima kasih. Semoga Allah permudahkan segalanya untuk kamu semua,” kata Ali.
Ternyata tindakan yang dipaparkan anggota terbabit menyentuh perasaan warga maya dan berhasil menunjukkan kebaikan masih wujud di dunia ini.