Siakap Keli
daihatsu ujian kemalangan
Gambar: Google

Daihatsu Mengaku Palsukan “Result” Ujian Kemalangan, Kereta Perodua & Toyota Antara Yang Terlibat

Daihatsu Mengaku Palsukan “Result” Ujian Kemalangan, Kereta Perodua & Toyota Antara Yang Terlibat

Daihatsu Motor Co. anak syarikat Toyota Motor Corp., mengakui bahawa mereka telah memanipulasi keputusan ujian kemalangan ke atas 88,000 unit kereta yang dijual di Thailand dan Malaysia sejak tahun lalu.

Memetik Bloomberg, antara model yang terlibat adalah Toyota Yaris Ativ dan Agya, kereta Perodua yang dikeluarkan atas usaha sama dengan Malaysia serta kenderaan yang dibangunkan oleh Daihatsu.

Kesemua kenderaan yang terlibat itu dilaporkan telah dijual di Thailand, Malaysia, Arab Saudi, UAE, Kuwait, Indonesia dan Mexico.

Menurut Daihatsu, kereta tersebut dipercayai mempunyai masalah komponen di dalam kemasan pintu semasa ujian kemalangan yang mungkin akan mempengaruhi keputusan berbeza.

Walaupun begitu, mereka berjanji akan menjalankan semula ujian dan hanya akan menyambung semula jualan jika ujian itu lulus secara sah.

Presiden Daihatsu mohon maaf

“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf ke atas kepercayaan pelanggan dan pihak berkepentingan yang telah kami khianati,” kata Presiden Daihatsu, Soichiro Okudaira dalam taklimat media pada Jumaat lalu.

Model Toyota yang terjejas telah menjalani ujian keselamatan dalaman sejak Khamis dan didapati tidak mempunyai masalah, kata Pengerusi Toyota, Akio Toyoda.

Ucapan itu dibuat semasa taklimat media berasingan pada petang Jumaat bersama Ketua Pegawai Eksekutif Koji Sato yang disiarkan secara langsung oleh Toyota Times.

“Kejadian ini melibatkan kereta yang dijual di bawah jenama Toyota.

“Oleh itu ia bukan sahaja memberi kesan kepada jenama Daihatsu tetapi juga kepada Toyota,” kata Toyoda.

“Kami akan menyiasat perkara itu untuk mengenal pasti punca, memastikan keselamatan pemandu dan mengelakkan agar ia berulang.” tambah Toyoda lagi.

BACA: Perodua Axia Baharu (2023) Bermula RM38,600, Lebih 20k Unit Sudah Ditempah

Menurut Toyoda, beliau akan bertanggungjawab dalam menyelesaikan perkara itu. Sato juga akan mengumumkan hasil ujian mereka itu kelak.

Pada Mac 2022, satu lagi unit Toyota, Hino Motors Ltd. dilaporkan telah menghantar data emisi dan penjimatan bahan api palsu kepada pihak berkuasa sejak 2016.

Syarikat itu juga dilaporkan telah menjual lebih daripada 115,000 kenderaan yang disahkan menggunakan data palsu berkenaan.

Menurut angka yang dikeluarkan pada Khamis lalu, pengeluaran kumpulan Toyota mencapai rekod 10.7 juta kenderaan di seluruh dunia pada tahun fiskal hingga Mac.

Sumber: Bloomberg

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka