Siakap Keli
ibu bapa budak pandu kereta
Gambar: Sinar Harian

Budak Pandu Kereta Hingga Terbabas, Polis Selesai Rekod Keterangan Ibu Bapa

Budak Pandu Kereta Hingga Terbabas, Polis Selesai Rekod Keterangan Ibu Bapa

LANGKAWI — Pihak polis memaklumkan bahawa telah selesai mengambil keterangan ibu bapa kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang memandu sebuah kereta bersama adiknya berusia tiga tahun hari ini, lapor Astro Awani.

Dalam kejadian yang tular itu, kereta yang dipandu mereka dilaporkan terbabas kerana melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum malam Selasa.

Polis Selesai Ambil Keterangan Ibu Bapa Budak Enam Tahun Pandu Kereta

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, keterangan kedua-dua penjaga kanak-kanak itu selesai diambil sekitar pada jam 2 petang tadi.

Ia selepas pasangan tersebut yang berusia 28 tahun dan 22 tahun itu hadir ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi hari ini.

“Menurut ibu kanak-kanak itu sebelum kejadian dia berada bersama dua anaknya berusia tiga dan enam tahun di ruang tamu rumahnya.

“Bagaimanapun ibu dua beradik itu masuk ke dalam bilik air untuk mandi. Sebaik keluar menyedari kedua-dua anaknya telah tiada di ruang tamu.

“Sebaik mencari di seluruh bahagian rumah tidak menemui anaknya lalu wanita itu mengejutkan suaminya yang sedang tidur di dalam bilik memaklumkan anak mereka telah hilang.

“Ketika suaminya ingin mengambil kunci kereta yang digantung di dinding mendapati kunci tiada. Pemeriksaan di luar rumah turut mendapati kereta tiada di hadapan rumah,” ujarnya sewaktu dihubungi Astro Awani.

BACA JUGA: Budak 6 Tahun Pandu Kereta Bawa Adik Terbabas

Tambah Shariman, pihaknya masih belum mendapatkan keterangan daripada kedua-dua kanak-kanak terbabit ekoran masih trauma.

“Abangnya hanya mengatakan dia tarik dan naik ke atas kerusi lalu mengambil kunci kereta yang digantung di dinding dan selepas itu terus menghidupkan kereta ke kedai untuk membeli kereta mainan,” katanya.

Selain itu, rakaman terbaru yang sempat diambil oleh orang awam turut diserahkan kepada pihak polis.

Dalam klip berkenaan memaparkan kenderaan yang dipandu kanak-kanak tersebut bergerak ke kiri dan ke kanan sebelum melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga.

Siasatan lanjut kini sedang dijalankan berhubung kejadian. Kes itu disiasat di bawah Sekysen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, kedua-dua mereka ditemukan oleh orang awam pada jam 11.15 malam semalam. Ia selepas kenderaan jenis Toyota Vios yang dipandu mangsa dilaporkan terbabas.

Susulan itu, kanak-kanak lelaki berusia enam tahun tersebut mengalami luka pada bahagian dagu. Manakala adiknya yang berusia tiga tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sumber: Astro Awani 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?