Siakap Keli
amir ahnaf pkp
Kredit: Youtube Studio Sembang

Terpaksa Catu Mi Segera Kepada 2, Detik Sukar Amir Ahnaf Ketika PKP

Terpaksa Catu Mi Segera Kepada 2, Detik Sukar Amir Ahnaf Ketika PKP

Siapa sangka, peserta Hero Remaja 2021 yang sinonim dengan watak ‘Kapla’ pernah mengalami detik-detik sukar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nama pelakon Amir Ahnaf mula meniti di bibir para peminat apabila watak ‘Kahar’ dalam drama bersiri Projek High Council mencetuskan fenomena di Malaysia.

Salah satu dialognya, ‘Aku Kahar, Kapla High Council,’ telah menjadi ikut-ikutan oleh warga maya di media sosial.

Akan tetapi, bintang ini tidak dapat melarikan diri daripada mengalami detik-detik sukarnya ketika negara kita dilanda krisis pandemik beberapa tahun lepas.

Beliau telah berkongsi kisah silamnya menerusi salah satu rancangan podcast terkemuka di Malaysia, Studio Sembang yang dihoskan bintang, Amelia Henderson.

Dalam sesi podcast tersebut, mereka telah membincangkan pelbagai topik menarik seperti jangkaan orang ramai terhadap anak sulung, masa semakin kurang ketika menginjak dewasa dan sebagainya.

Antara topik yang menarik perhatian warga maya adalah ranjau Amir Ahnaf sebagai anak seni terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Duduk berseorangan diri ketika PKP

Ketika tempoh itu, beliau terpaksa berdepan dengan krisis kewangan sehingga memaksanya mencatu makanan setiap hari.

“Saya habiskan PKP seorang diri. Saya rasa saya lalui sahaja, memang mungkin takdir hidup begitu. Supaya bila saya sudah dewasa nanti saya faham.

“Saya masih mencari apa yang sepatutnya saya faham, tak tahu lagi. Mungkin lagi lima tahun baru saya faham kenapa hidup saya sedemikian.

“Ketika itu, duit tak ada, makan Maggi (mi segera) tiada hal. Maggi itu saya patahkan dua, satu breakfast dan satu dinner. Itulah kehidupan Amir Ahnaf dulu ya, saya bangga dengan diri saya yang dulu,” katanya dalam podcast terbabit.

Pengalamannya yang disifatkan ‘relatable‘ dengan kebanyakan rakyat Malaysia, telah menyentuh perasaan pendengar podcast tersebut.

Lagi-lagi, bagi para pendengar yang cukup terkesan ketika krisis pandemik melanda negara bermula 2020.

Selain itu, Amelia turut bertanya kepada Amir berkenaan binatang apa yang paling digeruninya.

Tanpa berfikir panjang, Amir menjawab bahawa dirinya lebih takutkan manusia kerana manusia ini bijak dan memiliki pelbagai ‘muka’.

Beliau turut meletakkan analogi ‘dunia ini pentas dan manusia adalah pelakonnya’ dalam realiti masyarakat zaman sekarang.

“Semua orang boleh berlakon… Dunia ini pentas, selagi pentas ni berlegar, silalah berlakon… Berlakon sejauh mana kau mampu.”

BACA: Cemas, Letupan Kedengaran Ketika PM Jepun Mahu Berucap

Sumber: Gempak via Astro Awani

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma