Siakap Keli
kapal titanic 3d
Kredit: Atlantic Productions/Magellan

Akhirnya Gambaran Lengkap Kapal Titanic Didedahkan Dalam Bentuk 3D

Akhirnya Gambaran Lengkap Kapal Titanic Didedahkan Dalam Bentuk 3D

Kapal karam yang paling terkenal di dunia kini telah didedahkan keseluruhan bentuknya dengan imbasan 3D kepada umum dengan menggunakan pemetaan laut, lapor BBC.

Imbasan digital bersaiz penuh pertama Titanic, yang terletak di kedalaman 3,800 meter (12,500 kaki) di Atlantik, telah dibuat menggunakan imbasan pemetaan laut dalam.

Ia memberikan pandangan 3D yang unik bagi keseluruhan kapal, membolehkan ia dilihat seolah-olah air telah tiada di kapal itu.

Pendedahan ini dilakukan supaya ia memberi penerangan baharu tentang apa yang berlaku kepada kapal tersebut, yang tenggelam pada tahun 1912.

Kredit: Atlantic Productions/Magellan

Lebih 1,500 orang maut apabila kapal itu melanggar gunung ais dalam pelayaran sulungnya dari Southampton ke New York.

Menurut seorang penganalisis Titanic, Parks Stephenson, masih terdapat beberapa soalan-soalan asas yang perlu dijawab mengenai kapal itu.

Dalam pada itu, dia turut mengakui terpesona apabila dia mula-mula melihat imbasan itu.

“Ia membolehkan anda melihat bangkai kapal kerana anda tidak pernah dapat melihatnya dari laut yang dalam.

“Ia dapat dilihat secara keseluruhan dari segi konteks dan perspektif.

“Apa yang ditunjukkan adalah keadaan sebenar bangkai kapal itu,” jelasnya.

BACA: Genap 107 Tahun Peristiwa Tenggelamnya Kapal Titanic

Beri pandangan baru

Dia berkata imbasan itu memberi pandangan baru tentang apa yang berlaku kepada Titanic pada malam kejadian.

Tambahnya, dengan mengkaji bahagian buritan (belakang kapal), ia boleh mendedahkan kepada penyelidik bagaimana kapal itu melanggar dasar laut.

Parks Stephenson yang telah mengkaji kapal tersebut selama bertahun-tahun berkata model berkenaan adalah salah satu langkah utama pertama untuk memacu cerita Titanic ke arah penyelidikan berasaskan bukti dan bukan spekulasi.

Kredit: Atlantic Productions/Magellan

Titanic telah diterokai secara meluas sejak bangkai kapal itu ditemui pada tahun 1985.

Disebabkan bentuk dan keluasannya sangat besar, hanya gajet seperti kamera yang mampu menunjukkan gambar luaran kapal yang reput itu.

Akan tetapi, kamera tidak boleh menerokai semua tempat, oleh itu kapal tersebut tidak pernah ditunjukkan secara keseluruhannya.

Imbasan dilakukan pada 2022

Difahamkan, imbasan itu telah dijalankan pada musim panas tahun 2022 oleh Magellan Ltd, sebuah syarikat pemetaan laut dalam.

Manakala, Atlantic Productions bertanggungjawab untuk membuat dokumentari berhubung projek itu.

Imbasan baharu tersebut dapat menangkap bangkai kapal secara keseluruhan, mendedahkan pemandangan lengkap Titanic.

Kredit: Atlantic Productions/Magellan

Ia terletak pada dua bahagian, dengan haluan dan buritan dipisahkan kira-kira 800m (2,600 kaki) dan juga boleh dilihat medan serpihan yang besar mengelilingi kapal yang pecah itu.

Kapal selam, dikawal dari jauh oleh pasukan yang pakar mengenai kapal, menghabiskan lebih daripada 200 jam meninjau panjang dan lebar bangkai kapal.

Pasukan tersebut mengambil lebih daripada 700,000 imej dari setiap sudut, mencipta pembinaan semula 3D dengan tepat.

Projek terbesar

Gerhard Seiffert dari Magellan, yang mengetuai perancangan untuk ekspedisi itu berkata ia adalah projek pengimbasan bawah air terbesar yang pernah dilakukannya.

“Kedalaman ia hampir 4,000m, di mana mempunyai banyak cabaran dan kami juga tidak dibenarkan untuk menyentuh apa-apa supaya tidak merosakkan bangkai kapal.

“Cabaran lain ialah anda perlu memetakan setiap sentimeter persegi, walaupun bahagian yang tidak menarik seperti di medan serpihan, iaitu lumpur namun ia diperlukan untuk mengisi antara objek yang menarik,” jelasnya.

Kredit: Atlantic Productions/Magellan
Kredit: Atlantic Productions/Magellan

Imbasan menunjukkan kedua-dua skala kapal, serta beberapa butiran minit seperti nombor siri pada salah satu kipas.

Haluan itu kini dilitupi stalaktit karat, namun ia masih dapat dikenal pasti serta-merta walaupun 100 tahun selepas kapal itu hilang.

Difahamkan terdapat ‘kekacauan logam’ di bahagian buritan di mana ia runtuh apabila kapal terbalik ke dasar laut.

Kredit: Atlantic Productions/Magellan

Pada kawasan serpihan di sekeliling, terdapat barang-barang bertaburan, termasuk hiasan logam dari kapal, patung dan botol arak yang belum dibuka.

Terdapat juga harta peribadi, termasuk berpuluh-puluh kasut yang terletak di atas sedimen.

Sumber: BBC

BACA: Uncle Dedah Rahsia Macam Mana Nak Tahu “Engine Mounting” Rosak

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana