Siakap Keli
biodata pita limjaroenrat
Kredit: AFP

Kenali Pita Limjaroenrat, Calon Bakal PM Thailand Berusia 42 Tahun

Kenali Pita Limjaroenrat, Calon Bakal PM Thailand Berusia 42 Tahun

Siapa sangka, Thailand yang selama ini dipimpin oleh perdana menteri yang umumnya diterajui individu berusia, akhirnya ‘berubah wajah’ apabila bakal pemimpinnya kali ini datang daripada golongan muda?

Beberapa hari ini, Pilihan Raya Umum (PRU) Thailand kerap menjadi sebutan dan topik perbualan warga maya susulan pengundi mula menunjukkan perubahan arah dalam politik, dengan membuang undi kepada parti Move Forward.

Tindakan itu membuatkan parti Move Forward yang diketuai oleh calon muda, Pita Limjaroenrat memenangi kerusi terbanyak dengan memiliki 152 Parlimen pada PRU Thailand. 

Parti Move Forward dalam bahasa Thai membawa maksud membangkitkan lompatan perubahan, telah mencapai kemenangan yang mengejutkan dan menakjubkan.

Pengundi dilihat menolak hampir sedekad pemerintahan yang disokong tentera, menyerahkan lebih banyak kerusi dan undi kepada Move Forward berbanding mana-mana parti lain, memetik BBC.

Siapa Pita Limjaroenrat?

Kredit: Yahoo!

Perkongsian kali ini, lebih kepada memperkenalkan biodata Pita, lelaki di sebalik parti Move Forward, yang tidak pernah mengenal erti putus asa.

Imbas kembali, lelaki berusia 42 tahun itu memulakan kerjaya politiknya apabila beliau dipilih ke Parlimen pada 2019 sebagai ahli parti Move Forward.

Pada asalnya, Move Forward diasaskan oleh seorang jutawan serta pengkritik tegar tentera, Thanathorn Juangroongruangkit dan parti itu menunjukkan prestasi yang baik pada pilihan raya 2019 secara tidak langsung menggegarkan politik Thai.

Walau bagaimanapun, Move Forward terpaksa dibubarkan pada tahun berikutnya selepas dakwaan yang menimbulkan perbalahan.

Disebabkan itu, Thanathorn telah hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen dan Pita telah dinamakan sebagai ketua baharu.

Pita dilahirkan dalam keluarga kaya yang terlibat dalam politik. Bapanya merupakan penasihat di Kementerian Pertanian dan bapa saudaranya adalah pembantu kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Beliau mendapat pendidikan di luar negara, iaitu di New Zealand selepas dirinya mula menunjukkan minat dalam politik.

Pita juga merupakan graduan Universiti Thammasat Bangkok di mana beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Kewangan kemudian menyambung pengajian Sarjana Dasar Awam di Universiti Harvard dari Massachusetts Institute of Technology di Amerika Syarikat.

Kerjayanya bermula apabila Pita mengambil alih syarikat minyak milik bapanya dan kemudian dilantik sebagai pengarah eksekutif syarikat pengangkutan Grab Thailand.

Pita meneruskan kehidupan dengan berkahwin seorang model dan juga pelakon Thailand, Chutima Teenpanart namun mereka telah bercerai pada 2019.

Beliau kini merupakan bapa tunggal kepada anaknya yang berusia tujuh tahun, Pipim yang turut dibawa ke perhimpunan Move Forward.

BACA: Parti Anak Muda, Move Forward Menang Pilihan Raya Thailand

Kredit: CNN

Di sebalik kejayaan Move Forward pada PRU Thailand Ahad lalu, ia tidak bermakna Pita akan menjadi Perdana Menteri.

Perkara tersebut sebaliknya akan diputuskan oleh Senat yang dilantik oleh tentera dan Lower House.

Urusan dalam membentuk kerajaan baharu tinggal beberapa minggu dan perkara itu boleh menjadi kucar-kacir memandangkan tentera Thailand masih mempunyai kuasa untuk menjadi penentu.

Namun kemenangan itu telah memberi tumpuan kepada Pita dan partinya, yang telah membina pengikut yang kuat dalam kalangan pengundi muda yang kecewa dengan pemerintahan tentera selama bertahun-tahun dan dahagakan perubahan.

Pun begitu, Pita masih kekal yakin akan diangkat sebagai Perdana Menteri Thailand bagi menggantikan Prayuth Chan o-cha.

Sumber: BBC

BACA: PM Thailand Prayuth Janji Buat Yang Terbaik Sehingga Kerajaan Baharu Dibentuk

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana