Siakap Keli
Coldplay mohon maaf malaysia
Gambar: Hitz FM, Coldplay

Chris Martin Mohon Maaf Kepada Yang Tak Gembira Coldplay Datang Malaysia

Chris Martin Mohon Maaf Kepada Yang Tak Gembira Coldplay Datang Malaysia

Berita berkenaan kumpulan muzik asal United Kingdom, Coldplay yang bakal mengadakan konsert di Malaysia hujung tahun ini mendapat reaksi bercampur-baur daripada orang ramai.

Bagi peminat tegar Coldplay, ini adalah masanya untuk mereka menyaksikan konsert mega kumpulan itu di tanah air sendiri.

Namun begitu, berita ini turut menimbulkan rasa kurang senang sebilangan pihak yang masing-masing mempunyai hujahnya sendiri.

Begitupun, penerimaan yang pelbagai daripada rakyat Malaysia ini mungkin sebenarnya berada dalam pengetahuan kumpulan berkenaan.

Coldplay mohon maaf kepada sebahagian rakyat Malaysia

Perkara tersebut dapat disaksikan melalui satu temu bual yang dibuat oleh Hitz FM bersama vokalis Coldplay, Chris Martin pagi.

Walaupun berkongsi rasa terujanya untuk bertemu peminat, Chris Martin seolah-olah memahami sentimen yang ada dan menyentuh perkara tersebut dalam temubual berkenaan.

“Kami sangat bersyukur dan gembira berpeluang mengadakan konsert di Malaysia. Dari jauh, negara ini mencintai dan menghormati karya kami sejak sekian lama.

“Setiap kali saya bertemu dengan rakyat Malaysia, saya dapat rasakan kasih sayang dan kemesraan mereka,” katanya.

Seterusnya, pada penghujung temu bual itu beliau turut sempat menghulurkan permohonan maaf kepada pihak-pihak tertentu.

“Semua orang dijemput ke persembahan kami. Kami sayang semuanya, peminat daripada semua agama, semua pemimpin, semua pengikut, tiada yang terkecuali.

“Kami benar-benar mahu anda hadir ke konsert kami dan merasa bebas menjadi diri anda sendiri dan membenarkan orang lain menjadi diri mereka sendiri.

“Kepada mereka yang tidak gembira dengan kehadiran Coldpay, kami mohon maaf tetapi kami tetap sayangkan anda”, katanya.

Terdahulu, Coldpay mengumumkan mereka bakal mengadakan jelajah dunia Music Of The Spheres termasuk di beberapa buah negara Asia.

Di Malaysia, konsert berkenaan dijadualkan pada 22 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Manakala, tiket konsert berkenaan sudahpun mula dijual sejak beberapa hari lepas. Namun disebabkan permintaan yang tinggi daripada peminat, difahamkan ada yang gagal mendapatkan tiket dan mungkin terlepas konsert berkenaan.

Setakat ini, tiada maklumat sama ada Coldplay akan menambah satu hari lagi konsert bagi meraikan sebahagian besar peminat yang terlepas konsert pada 22 November itu.

BACA: Suami Isteri Dilapor Maut, Dipercayai Terjatuh Dari Bangunan Hotel Di Genting Highland

Sumber: Twitter

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.