Siakap Keli
Lima'23 aset maritim
Gambar: Bernama

LIMA’23: Aset Maritim Negara Mula Dipertonton Kepada Orang Awam Hari Ini

LIMA’23: Aset Maritim Negara Mula Dipertonton Kepada Orang Awam Hari Ini

LANGKAWI, 23 Mei (Bernama) — Umpama menonton babak-babak mencemaskan dalam filem PASKAL, pembukaan rasmi Segmen Maritim sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) di Resort World Langkawi dekat sini benar-benar memukau sesiapa yang menyaksikannya.

Ia bermula dengan beberapa perenang tempur Pasukan Khas Laut (PASKAL) terjun dari helikopter operasi maritim AW139 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum bergerak secara senyap, pantas dan ketepatan yang jitumenyelam ke arah kolam infiniti berhadapan dengan pentas utama.

“Tuan-tuan dan puan-puan, para penyelam sudah berada di sini! Mereka berjaya menghampiri pentas utama tanpa dapat dilihat, dikesan dan dijangka,” kata pengacara majlis, menyebabkan semua hadirin tidak henti-henti mengambil gambar dan video dengan telefon bimbit masing-masing.

Dua anggota PASKAL terbabit membawa kotak berisi plak perasmian kepada Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob untuk diserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyempurnakan perasmian segmen itu.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

BACA JUGA: LIMA’23: Dahulu Ambil Gambar Dengan Telefon, Kini Guna Kamera Profesional

Meskipun cuaca panas terik, orang ramai tetap tidak berganjak untuk menyaksikan demonstrasi maritim sempena pembukaan rasmi LIMA’23 hari ini yang dilakukan dalam dua bahagian iaitu fasa demonstrasi keupayaan aset dan fasa operasi menyelamat tebusan.

Ia dilaksanakan dengan kerjasama tujuh agensi iaitu TLDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perikanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Laut Malaysia.

Semua bot dan kapal milik negara yang mengambil bahagian berjaya menunjukkan kebolehgerakan serta kelajuan tinggi selain pelbagai aksi menarik dengan bantuan serta keupayaan pengemudi berpengalaman.

Demonstrasi itu juga melibatkan aset udara TLDM seperti bot FCB 1326, pesawat AW139, Super Lynx Mark100 dan AS555 SN Fennec.

Turut mencuri perhatian ialah demonstrasi manuver bot berkelajuan tinggi seperti FCB 1326 dan CB90 yang membuat crash stop serta pusingan 360 darjah yang digunakan dalam Op Benteng iaitu operasi bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin dan aktiviti jenayah rentas sempadan.

Turut dipertonton ialah Watercat yang digunakan oleh PDRM dalam operasi pemantauan, peninjauan dan risikan serta Rigid Hull Inflatable Boat milik TLDM dan bot benteng sepanjang 12 meter milik APMM yang mampu mencecah kelajuan 60 knot.

Jabatan Perikanan juga tidak ketinggalan mempamerkan kehebatan bot Peronda Laju 91 (PL91) dengan kelajuan maksimum 40 knot dalam demonstrasi itu, yang digunakan untuk Program Pemantauan, Pengawalan dan Pengawasan (MCS) bagi menguatkuasakan Akta Perikanan 1985.

Demonstrasi Maritim LIMA‘23 akan berlangsung sehingga 27 Mei ini yang turut diserikan dengan gabungan melibatkan pasukan khas dari 4 hingga 6 petang selain pameran statik aset maritim.

Turut disajikan Persembahan Pancaragam dan Kawad Senyap (TLDM), Persembahan Pancaragam (APMM), Demonstrasi Pasukan COBRA (Kastam), Demonstrasi Firefighting Suit and Hose Layout serta Demonstrasi Sut HAZMAT (JBPM) dan Tarian Perang (PDRM).

Perkhidmatan feri penumpang disediakan secara percuma buat pengunjung yang berminat untuk melihat dan mengenali dengan lebih dekat kapal perang yang bersauh di laut.

Sumber: BERNAMA 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?