Siakap Keli
Lelaki maut tolong itik lintas jalan
Kredit Mothership

Lelaki Maut Dirempuh Kereta Ketika Tengah Tolong Itik Lintas Jalan

Lelaki Maut Dirempuh Kereta Ketika Tengah Tolong Itik Lintas Jalan

Seorang lelaki di California, Amerika Syarikat dilapor maut selepas dirempuh kereta ketika sedang membantu itik melintas jalan, lapor Mothership.

Kejadian dilaporkan melibatkan seorang lelaki bernama Casey Rivara, 41 tahun pada 18 Mei lalu.

Jabatan Polis Rocklin berkata dalam kenyataan akhbar bahawa lelaki itu meletakkan kenderaannya di persimpangan jalan ketika cuba membantu itik melintas jalan.

Dalam kejadian pada hari tersebut, kereta yang dipandu oleh seorang remaja telah melanggar lelaki itu kira-kira jam 8.15 malam.

Akhbar berita California KCRA3 menyatakan bahawa pemandu itu adalah seorang gadis berusia 17 tahun.

Menurut saksi, Rivara membantu memastikan itik itu berjaya melintasi jalan sebelum kemalangan tersebut berlaku, memetik BBC.

Pemandu remaja itu kekal berada di tempat kejadian selepas kemalangan, kata polis.

Bagaimanapun lelaki itu disahkan meninggal dunia apabila petugas kecemasan tiba di tempat kejadian.

“Tiada tangkapan dibuat, dan kejadian itu masih dalam siasatan,” kata polis.

Seorang lagi saksi kejadian iaitu seorang budak lelaki bernama William yang berusia 12 tahun berkata bahawa Rivara melangkah keluar dari keretanya sebelum cuba menghalau itik itu dari atas jalan raya.

“Semua orang bertepuk tangan kerana dia sangat baik,” kata William kepada KCRA 3.

Wiliam menambah bahawa tiada seorang pun yang bergerak di persimpangan itu walaupun lampu isyarat sudah hijau.

“Dia membantu mereka kerana semua anak itik itu masih kecil dan menghadapi masalah,” kata William.

Tindakan Rivara mendapat pujian ramai

William dan ibunya malah sempat menurunkan tingkap mereka lalu memuji tindakan Rivara.

Menurut William, walaupun dia tidak melihat bagaimana kereta itu melanggar Rivara, namun dia dapat mendengar bunyi lalu Rivara terpelanting di simpang tersebut.

William juga memberitahu KCRA 3 bahawa kereta itu “seolah-olah datang entah dari mana”.

“Dia adalah satu-satunya orang yang keluar dari kereta dan cuba membantu mereka. Dia mungkin orang paling baik di kawasan itu. Ia tidak adil,” kata William kepada KCRA 3.

Ekoran daripada kejadian itu, saudara Rivara kemudiannya membuka kutipan dana dalam talian di GoFundMe.

Mereka berkata bahawa Rivara sedang memandu anak-anaknya pulang dari latihan berenang sewaktu melihat seekor itik dan anak-anaknya. Keluarga itu dikatakan sedang bergelut cuba menyeberangi persimpangan jalan yang sibuk berkenaan.

BACA: Apa Maksud ‘kPa’ Pada Vakum, Ini Nilai Minimum Kalau Nak Sedutan Yang Kuat

“Casey keluar dari kereta untuk membantu itik-itik itu menyeberangi jalan dengan selamat. Bagaimanapun, ketika dia menuju semula ke keretanya, dia secara tragis telah dilanggar oleh sebuah kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata keluarga Rivara.

Sehingga kini tabung kutipan dana itu telah berjaya mengumpul dana sebanyak USD 108,042 (RM495,000).

Sumber: Mothership

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka