Siakap Keli
Bekas hakim anggota polis didakwa rasuah
Kredit BERNAMA

Bekas Hakim, Anggota Polis Didakwa Minta Rasuah Lepaskan Kes Khalwat

Bekas Hakim, Anggota Polis Didakwa Minta Rasuah Lepaskan Kes Khalwat

IPOH, 25 Mei (Bernama) — Seorang bekas hakim dan seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rasuah RM4,000 untuk melepaskan seorang lelaki berkaitan kes khalwat pada 2019.

Bekas hakim Mahkamah Syariah, Burhanuddin Ismi Adam, 43, dan Lans Koperal Muhamad Hamri Ayob, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Muhamad Hamri didakwa meminta bagi pihak Burhanuddin Ismi suapan iaitu wang sebanyak RM4,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk Burhanuddin Ismi membuat keputusan melepaskan kes khalwat yang memihak kepada lelaki itu di bawah Seksyen 54(1) (2) Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran, Jalan Kuala Kangsar, Taman Tasek Mutiara di sini pada kira-kira 5.30 petang 10 Sept 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Burhanuddin Ismi pula didakwa menerima suapan sebanyak RM4,000 daripada lelaki itu sebagai dorongan untuk membuat keputusan melepaskan kes khalwat yang memihak kepada lelaki tersebut di bawah seksyen sama.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Desa Chemor Saujana di sini pada kira-kira 11.30 malam hari sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Burhanuddin Ismi yang merupakan bapa kepada tiga anak dan Muhamad Hamri bapa kepada empat anak memohon jaminan minimum dikenakan ke atas mereka.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 ke atas setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 19 Jun untuk sebutan semula kes.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka