Siakap Keli
bintang tenis sepanyol selfie
Kredit Splash News, Instagram/@grabinemuguruza

Bintang Tenis Sepanyol Bakal Berkahwin, Bertemu Jodoh Dengan Peminat Ajak “Selfie”

Bintang Tenis Sepanyol Bakal Berkahwin, Bertemu Jodoh Dengan Peminat Ajak “Selfie”

Bekas juara Wimbledon, Garbine Muguruza baru-baru ini mengumumkan akan berkahwin dengan peminat yang pernah berswafoto bersamanya di jalanan, lapor The Sun.

Bintang tenis berusia 29 tahun itu telah mengikat tali pertunangan bersama teman lelakinya Arthur Borges yang juga merupakan seorang model.

Pemenang Wimbledon 2017 itu difahamkan bertemu dengan tunangnya secara kebetulan selepas Arthur meminta untuk berswafoto bersamanya di New York City, pada Ogos 2021 lalu.

Bekas pemain tenis wanita nombor satu dunia itu memberitahu media Amerika: “Hotel saya berdekatan dengan Central Park dan saya bosan, jadi saya ambil keputusan untuk pergi bersiar-siar.

“Saya keluar dan kemudian terserempak dengannya di jalanan. Dia tiba-tiba berpaling dan mengucapkan semoga berjaya kepada saya untuk acara Terbuka AS. Saya juga sempat mengelamun dan berfikir sejenak bahawa dia sangat kacak,” kata Muguruza.

Pemain tenis berasal dari Sepanyol itu mendedahkan lagi bahawa dia dan Arthur terus berjumpa dan sering berjalan-jalan di sekitar Central Park.

Selepas menjalinkan hubungan, Arthur akhirnya melamarnya sambil berlutut di Marbella, Sepanyol.

Muguruza yang mempunyai seramai 881,000 pengikut di Instagram berkata: “Rasanya pelik. Saya memikirkan sesuatu yang lain dan selepas dia melamar, saya mula menangis.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk bertindak balas. Saya menjawab ya sambil mengalirkan air mata, ia sangat romantis.”

Pemain tenis kelahiran Venezuela itu berkata majlis mereka akan diadakan di suatu tempat berhampiran pantai di Sepanyol dan akan berlangsung pada tahun akan datang.

Bakal suaminya dilahirkan di Sepanyol dan membesar di Finland. Ketika bertemu dengan Murguza, Arthur dikatakan sedang bekerja untuk Tom Ford di New York City.

Pemenang Grand Slam dua kali itu berkata: “Dia berdarah campuran sama seperti saya. Saya separuh Venezuela dan separuh Sepanyol, jadi kami memahami antara satu sama lain.

BACA: Apa Maksud ‘kPa’ Pada Vakum, Ini Nilai Minimum Kalau Nak Sedutan Yang Kuat

Untuk makluman, Muguruza juga pernah memenangi Final Tour pada 2021 yang lalu dan kini dia berada di kedudukan ke 132 dunia dalam perseorangan tenis wanita.

Kejuaraan terakhirnya ialah sewaktu Terbuka Lyon, Perancis pada Januari lalu.

Sumber: The Sun

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka