Siakap Keli
kanada amaran merokok
Gambar: Bernama

Kanada Cetak Amaran Bahaya Merokok Pada Setiap Batang Rokok

Kanada Cetak Amaran Bahaya Merokok Pada Setiap Batang Rokok

NEW YORK, 1 Jun (Bernama-dpa) — Jabatan kerajaan Kanada, Health Canada, akan mencetak amaran bahaya merokok pada setiap batang rokok, satu langkah yang pertama seumpamanya di dunia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Perokok akan dapat melihat amaran seperti “rokok menyebabkan kanser” dan “racun dalam setiap sedutan” setiap kali mereka menghisap rokok, menurut penyiar Canadian Broadcasting Corporation (CBC).

Amaran lain yang dicetak pada rokok, termasuk “rokok merosakkan organ anda” dan “asap tembakau membahayakan kanak-kanak” apabila mandat persekutuan dilaksanakan ke atas rokok bersaiz king mulai 1 Ogos.

Pengeluar rokok bersaiz biasa mempunyai masa sehingga 31 Julai 2024 untuk mencetak amaran pada rokok, manakala pengeluar cigarillo mempunyai masa sehingga 30 April 2025.

BACA JUGA: Mexico Ketatkan Larangan Merokok Di Tempat Awam

Menteri Kesihatan Bersekutu Kanada dan Menteri Kesihatan Mental dan Ketagihan, Carolyn Bennett, berkata amaran pada setiap batang rokok berserta “imej grafik terkini” pada pembungkusan merupakan pendekatan baharu dan berani dalam menyelamatkan nyawa.

“Penggunaan tembakau menyebabkan 48,000 kematian di Kanada setiap tahun dan kami menjadi negara pertama di dunia yang melabelkan setiap batang rokok dengan mesej amaran kesihatan,” kata Bennett.

Ketua eksekutif Yayasan Jantung dan Strok Kanada, Doug Roth berkata: “Tembakau kekal sebagai punca utama penyakit dan kematian yang boleh dicegah di Kanada dan langkah baharu yang penting ini akan melindungi belia dan membantu untuk berhenti merokok”.

Seorang peguam antirokok memberitahu CBC, beliau juga mahu melihat pembaharuan pembungkusan itu turut digunakan untuk produk vape berdasarkan tinjauan tembakau, alkohol dan dadah pelajar Kanada yang diterbitkan baru-baru ini mendapati remaja di Kanada merupakan pengguna vape tertinggi di dunia.

Sumber: BERNAMA-dpa

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?